Jarak 1m tempat duduk, pakai topeng antara SOP untuk sidang Parlimen

Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya ahli Parlimen dan pegawai dibenarkan memasuki dewan persidangan.

PETALING JAYA: Semua ahli Parlimen, pegawai kerajaan dan petugas media perlu mematuhi SOP ketika menghadiri sidang Dewan Rakyat yang akan bermula Isnin depan, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Antara SOP itu ialah pemakaian topeng, menggunakan cecair pembasmi kuman dan melaksanakan jarak 1m antara tempat duduk ahli Parlimen semasa persidangan Parlimen.

“Semua yang terlibat termasuk ahli Parlimen, pegawai kerajaan dan petugas media perlu menjalani proses pendaftaran menggunakan aplikasi MySejahtera serta saringan suhu badan sebelum dibenarkan masuk.

“Hanya ahli Parlimen dan pegawai dibenarkan masuk ke dewan persidangan, manakala hanya petugas media dan penjawat awam dibenarkan berada di bangunan Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dewan Rakyat akan bersidang mulai 13 Julai ini hingga 27 Ogos, manakala Dewan Negara bermula 2 hingga 23 Sept ini.

Ismail berkata, SOP itu diluluskan mesyuarat khas menteri-menteri mengenai pelaksanaan PKP dengan mengambil kira norma baru dalam memerangi penularan Covid-19.

Sementara itu, beliau berkata, 1,146 rakyat Malaysia pulang dari Singapura, Indonesia, Jepun, China, Qatar, Australia, Belanda, India dan United Kingdom semalam.

“Daripada jumlah itu, 1,144 individu diperintah menjalani kuarantin wajib di kediaman mereka, manakala 2 individu dibawa ke hospital.”

Katanya, polis membuat 1,083 pemantauan pematuhan SOP kuarantin rumah dan semua individu itu mematuhinya.

Mengenai kawalan sempadan negara, Ismail berkata, polis membuat 67 sekatan jalan raya di seluruh negara dan menahan 5 warga asing atas kesalahan imigresen.