Kerajaan baru tak abai isu MA63, kata Fadillah

Menteri Kanan Fadillah Yusof (kiri) berkata kementerian yang dipimpin Maximus Ongkili ditumpukan pada hal Sabah dan Sarawak.

PETALING JAYA: Menteri persekutuan paling kanan dari Malaysia Timur menepis dakwaan perjuangan memenuhi Perjanjian Malaysia 1963 terhenti sejak kerajaan bertukar pada Mac.

Menteri Kanan (Prasarana), Fadillah Yusof berkata kerajaan Perikatan Nasional komited menghormati hak Sabah dan Sarawak dalam perjanjian itu.

Fadillah, seorang pemimpin kanan GPS, berkata: “Dakwaan mengatakan kami sudah tidak lagi memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak adalah tidak benar dan gambaran salah tentang usaha kami dalam tempoh yang singkat ini.”

Hak negeri Malaysia Timur kini lebih aktif ditangani berbanding pentadbiran lepas, katanya.

“Sekarang kita ada seorang menteri yang secara langsung menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak. Ini bukan sekadar jawatankuasa pemegang taruh, tetapi kementerian khusus untuk menangani hal ehwal Sabah dan Sarawak.”

Beliau berkata antara tugas Maximus Ongkili termasuk melaksanakan persetujuan yang dicapai dalam jawatankuasa khas Kabinet yang mengkaji MA63.

“Di samping itu, kita juga tubuh jawatankuasa khas yang dipengerusikan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz dan saya bagi memastikan pelaksanaan penyelesaian antara Petronas dan Sarawak berhubung cukai jualan ke atas produk Petroleum.”

Fadillah berkata Perikatan Nasional ikhlas menghormati hak Sabah dan Sarawak dan menganggap mereka rakan dalam persekutuan dan ini ditunjukkan dalam tindakannya.

“Kami bekerja keras untuk menyelesaikan isu, kita tak berjanji dan kemudian beralasan. Kalau ada isu, kita akan cari penyelesaian.

“Cukai jualan ke atas produk petroleum contoh yang baik, kita di peringkat persekutuan, mencari penyelesaian menang-menang dan Petronas dan Sarawak capai penyelesaian secara damai.”

Pada Mei, Petronas mengumumkan ia akan membayar cukai jualan kepada Sarawak dan menggugurkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan ia membayar cukai itu.

Fadillah berharap pihak yang tidak bertanggungjawab hentikan cubaan memperdayakan orang ramai, terutama rakyat Sabah dan Sarawak, dengan dakwaan tidak benar tentang isu MA63.