Kerajaan Johor gagal tarik diri daripada semakan kehakiman Orang Asli

Orang Asli Kelah Lah bersama peguam Gregory Das (kanan) dan peguam lain di Mahkamah Rayuan hari ini.

PUTRAJAYA: Kerajaan Johor sekali lagi gagal menarik diri daripada permohonan semakan kehakiman yang difailkan sekumpulan Orang Asli dari puak Seletar untuk memaksa negeri itu membayar pampasan kerana mengambil tanah adat mereka kira-kira 25 tahun lalu.

Mahkamah Rayuan bagaimanapun membenarkan permohonan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dikecualikan daripada permohonan itu.

Panel 3 hakim yang dipengerusikan Yaacob Md Sam berkata, Orang Asli itu gagal menunjukkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mempunyai kepentingan ke atas tanah terbabit.

“Rayuan itu dibenarkan dan perintah Mahkamah Tinggi diketepikan,” kata Yaacob yang bersidang bersama Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Azizah Nawawi.

Bagaimanapun, Yaacob berkata, pentadbir tanah Johor Bahru serta pengarah Tanah dan Galian negeri perlu kekal sebagai pihak dalam kes itu.

“Tiada merit dalam rayuan mereka.”

Disember lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, See Mee Chun dilaporkan berkata, permohonan pembatalan oleh negeri dan pihak berkuasa tempatan itu salah dari segi prosedur.

Beliau kemudiannya membenarkan permohonan Orang Seletar untuk turut memasukkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sebagai responden.

Peguam Kuna Nadesan mewakili PBT itu, penolong penasihat undang-undang Johor, Madihah Zainol mewakili kerajaan negeri dan peguam Gregory Das mewakili Orang Asli itu.

Madihah kemudiannya memberitahu FMT, beliau akan mendapatkan arahan kerajaan negeri sama ada mahu memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Ada juga kemungkinan kita memohon kebenaran menghentikan prosiding semakan kehakiman yang dijadualkan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 21 Julai ini, jika kita memutuskan untuk ke mahkamah tertinggi.”

Seramai 51 plaintif yang diketuai Kelah Lah memohon perintah mahkamah untuk pentadbir tanah menentukan jumlah pampasan.

Pada 2008, Orang Asli itu memfailkan tindakan undang-undang terhadap pengarah tanah dan galian Johor, MBJB dan ketua pengarah Jakoa.

Mahkamah Tinggi pada 2010 memutuskan Orang Asli itu perlu dibayar pampasan mengikut Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 dan pampasan itu perlu ditentukan pentadbir tanah Johor Bahru.

Orang Asli itu dipindahkan dari kampung asal mereka di Stulang Laut ke Kampung Orang Asli Kuala Masai.