Pesanan bertambah, penghantar makanan terpaksa tanggung risiko raih komisen

Seorang penghantar makanan memeriksa telefon bimbitnya ketika dalam perjalanan menghantar makanan kepada pelanggan, antara tabiat yang menyumbang kepada 150 kes kemalangan jalan raya ketika pesanan makanan melonjak sepanjang 3 bulan PKP.

KUALA LUMPUR: Penghantar makanan menggunakan motosikal berisiko terdedah kepada kemalangan jalan raya ketika berusaha meraih sebanyak mungkin komisen dengan kadar tinggi penghantaran, susulan lonjakan permintaan untuk penghantaran makanan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Statistik polis trafik menunjukkan sejumlah besar kemalangan jalan raya membabitkan penghantar makanan yang turut dianggap “petugas barisan depan” bukan perubatan ketika kemuncak pandemik Covid-19 melanda negara awal tahun ini.

Sebahagian penghantar makanan itu mengalami kecederaan parah walaupun jalan raya lengang dalam tempoh PKP.

Sebanyak 150 kemalangan membabitkan penunggang 2 syarikat penghantaran makanan popular dilaporkan dalam tempoh 3 bulan selepas pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu untuk membendung penularan Covid-19.

Sekurang-kurangnya 92 penunggang membuat penghantaran makanan untuk khidmat Foodpanda dan selebihnya untuk Grabfood.

Statistik dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman menunjukkan 1/3 daripada kes itu membabitkan kecederaan serius, manakala 73 lagi kecederaan ringan.

Angka itu menimbulkan perdebatan berhubung kebajikan dan keselamatan penghantar makanan bagi syarikat itu yang dilihat semakin berkembang setiap tahun.

Ia menambahkan lagi kebimbangan orang ramai terhadap pelanggaran peraturan lalu lintas secara berterusan oleh penghantar makanan ketika menjalankan tugas mereka.

Perkhidmatan penghantaran makanan sudah lama berkembang sebelum ini, tetapi tempoh 3 bulan PKP menyaksikan permintaan terhadapnya melonjak kerana pelanggan dilarang makan di dalam restoran.

Bagaimanapun, pesanan tinggi menyebabkan penghantar makanan tidak mengendahkan keselamatan diri atau orang lain demi mendapat komisen bagi setiap pesanan.

Pada 14 April lalu, seorang penunggang motosikal berusia 22 tahun patah tulang paha selepas menunggang melawan arus di Cheras dan bertembung sebuah kereta.

“Mereka sering tergesa-gesa untuk mendapatkan lebih banyak komisen. Ramai penghantar makanan sering melanggar peraturan lalu lintas seperti melanggar lampu isyarat merah atau menunggang melebihi had laju,” kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Azisman Alias kepada FMT.

Beliau berkata, antara masalah mereka ialah menggunakan telefon bimbit untuk mengelakkan kesesakan yang menyebabkan mereka bertembung kenderaan lain, terbabas dari jalan raya atau hilang kawalan di selekoh dan simpang.

Azisman berkata, pihak berkuasa bertanggungjawab menetapkan prosedur standard untuk penghantar makanan dan polis akan terus menguatkuasakan peraturan jalan raya.

Beliau berharap syarikat penghantaran makanan akan lebih bertangungjawab terhadap pekerja mereka.

Katanya, mereka perlu mengadakan latihan dan kursus menunggang motosikal secara pertahanan sebelum mengambil penunggang baru, selain menyediakan jaket keselamatan mudah dikesan pengguna jalan raya lain dan jalur pemantul cahaya pada kotak makanan bagi melindungi pekerja mereka.