Kumpulan saintis dakwa temui bukti Covid-19 boleh tersebar melalui udara

239 saintis dari 32 negara menunjukkan penemuan partikel kecil Covid-19 di udara dan mendesak WHO menyemak semula jangkitan hanya melalui titisan air.

Ratusan saintis mendakwa menemui bukti koronavirus SARS-CoV-2 dalam partikel kecil di udara yang boleh menjangkiti manusia.

Ia bertentangan dengan kenyataan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang sebelum ini mendakwa virus punca penyakit Covid-19 itu hanya merebak dari individu ke individu lain menerusi titisan cecair badan dari hidung atau mulut.

Menurut WHO, virus tersebut tersebar apabila individu yang dijangkiti batuk, bersin atau bercakap.

Namun dalam dapatan terbaru ini, 239 saintis dari 32 negara menunjukkan penemuan sebaliknya dan mendesak agar WHO menyemak semula kenyataan tersebut.

Hasil kajian para saintis itu akan diterbitkan dalam jurnal saintifik minggu depan.

WHO bagaimanapun sehingga kini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung saranan saintis ini.

Agensi itu sebelum ini memaklumkan dakwaan koronavirus merebak menerusi udara tidak meyakinkan.

Sementara itu, vaksin eksperimen untuk Covid-19 yang dibangunkan sebuah syarikat berpusat di Ahmedabad, India sudah diluluskan untuk diuji ke atas manusia.

Malah, ia sekaligus menjadi vaksin Covid-19 kedua dari negara itu yang mendapat kebenaran sama.

Dikenali sebagai ZyCoV-D, uji kaji vaksin itu akan bermula pada bulan ini.

Menurut Dr V. K.Srinivas, naib presiden syarikat bio-teknologi Bharat, ia akan diuji ke atas 1,000 individu di seluruh negara itu.

Malah, pihaknya juga bercadang membuat pengeluaran besar-besaran untuk dipasarkan ke peringkat global.

Sebelum uji kaji ke atas manusia, vaksin itu terlebih dulu sudah diuji ke atas haiwan seperti tikus dan arnab.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]