Lebih 1,000 kios untuk bantu belia jadi usahawan di KL, Putrajaya

Annuar Musa (tengah, bertopi) diiringi Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Santhara Kumar (kanan) mengunjungi premis perniagaan di sekitar Jalan Masjid India ketika meninjau perkembangan projek ‘River of Life’ hari ini.

KUALA LUMPUR: Belia yang kehilangan kerja akibat krisis Covid-19 dan berminat memulakan perniagaan kini boleh menyertai Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota yang menawarkan 1,122 ruang berniaga di sini dan Putrajaya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa berkata, 169 lokasi strategik dikenal pasti untuk dijadikan ruang perniagaan di 2 kawasan itu menerusi program yang diperkenalkan kementeriannya dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya dan Yayasan Wilayah Persekutuan sehingga 2023.

Sebagai permulaan, katanya, 80 peserta akan memulakan operasi bulan ini hingga Disember ini.

“Bakal usahawan akan dikenakan sewa RM20 hingga ribuan ringgit dan kita takrifkan anak muda ini berumur bawah 35 tahun,” katanya ketika meninjau projek “River of Life” (RoL) fasa 2 di sekitar Jalan Masjid India hari ini.

Antara lokasi strategik itu ialah sekitar kawasan RoL, perhentian bas dan teksi, di pusat bandar KL, Berjaya Times Square, ruang niaga di medan selera sekitar Putrajaya, Dataran Niaga Belia dan Presint 14 di Putrajaya.

Annuar berkata, belia dibenarkan menjalankan perniagaan makanan dan minuman, menjual gajet dan teknologi maklumat, fesyen, perhiasan, produk kosmetik dan kecantikan, buku, cenderamata dan kraftangan.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran kepada belia yang mendapat kelulusan supaya tidak menyewakan kios mereka kepada pihak lain.

“Hargailah kelulusan yang DBKL bagi, jangan ada isu sewa atas sewa lebih-lebih lagi kepada warga asing.”

Sementara itu, Annuar berkata, projek RoL yang dijadual siap tahun depan dilanjutkan sehingga 2024 disebabkan beberapa isu teknikal kerana ia membabitkan pembangunan fizikal meliputi penambahbaikan landskap sungai yang memerlukan kajian tambahan.

“Ada bahagian sungai yang sudah siap, tetapi kita dapati kualiti air tidak capai piawaian sepenuhnya, jadi perlu masa tambahan.”

Projek RoL yang mula dilaksanakan pada 2011 terbahagi kepada 3 fasa, iaitu pembersihan sungai, pengindahan dan pengkomersialan serta pelancongan.