Mustahil paras kemiskinan kekal RM980 sebulan, kata Mustapa

Mustapa Mohamed

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata mustahil paras kemiskinan terus kekal pada pendapatan RM980 sebulan yang ditetapkan pada 2005, susulan kritikan bekas pelapor khas PBB terhadap komitmen kerajaan berkenaan kadar kemiskinan sebenar.

Ini kerana berbanding RM20,000 seisi rumah pada 2005, pendapatan per kapita ketika ini sudah mencecah RM45,000, memandangkan jumlah pendapatan meningkat 2 kali ganda.

Jika sebelum ini kadar kemiskinan 0.4% mengikut pendapatan per kapita seisi rumah pada 2015, “maka sudah pasti, dari segi kuantum, lebih tinggi dari RM980 dan sudah pasti lebih 0.4%” pada ketika ini, katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Terdahulu, bekas pelapor khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tentang kemiskinan tegar, Philip Alston mendakwa kerajaan baru “berundur” daripada komitmen menangani kemiskinan secara bersungguh-sungguh oleh pentadbiran lepas.

Alston dalam laporan hasil lawatan rasmi ke Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Sabah, dan Sarawak dan menemui pegawai kerajaan persekutuan dan negeri, agensi antarabangsa, orang awam, ahli akademi, dan penduduk miskin di bandar dan luar bandar, dari 13 hingga 23 Ogos 2019 berkata, kadar kemiskinan rasmi 0.4% – yang terendah di dunia – tidak mencerminkan kos kehidupan dan mengecualikan penduduk yang mudah terjejas daripada statistik rasmi.

Pentadbiran lepas berjanji akan menyemak semula kadar kemiskinan 0.4% itu.

Mustapa hari ini berkata kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat selepas libat urus bersama pengarah unit perancangan ekonomi dan pihak berkaitan lain.

“Esok saya akan bagi taklimat ringkas di Kabinet. Perancangan kita untuk gunakan kaedah baru, untuk dapat kadar kemiskinan berdasarkan metadologi pada 2019, berbanding metadologi lama iaitu pada 2005,” kata Mustapa.

Dalam pada itu, Mustapa juga berkata kerajaan menyemak garis paras kemiskinan dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 yang dibentangkan pada Okt 2018, dan pada Ogos lepas, kerajaan memaklumkan angka kemiskinan sedang dikaji semula.

“Jabatan Perangkaan melalui tinjauan, pendapatan dan perbelanjaan melihat semula perkara ini dan beberapa jawatankuasa sudah meneliti angka ini. Hasilnya, sudah dibentang ke Kabinet 2 kali, sebenarnya kita sudah ada dapatan dan akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.