Peguam kanan persekutuan mengaku tak bersalah dakwaan rasuah ke-3

Lim Cheah Yit (memegang fail merah jambu) di Mahkamah Sesyen Butterworth semalam.

ALOR SETAR: Seorang peguam kanan persekutuan yang didakwa terbabit dalam rasuah untuk mengatur satu kes berdepan satu lagi pertuduhan tambahan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Lim Cheah Yit, 42, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersetuju menerima rasuah RM100,000 daripada Goh Kim Heong.

Suapan itu didakwa bertujuan mempengaruhi pengarah pendakwaan Pulau Pinang untuk mendakwa Chan Eng Leong menipu di bawah Kanun Keseksaan.

Lim didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat SPRM Kedah di Alor Setar di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang 5 kali nilai rasuah atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Hakim Murtazadi Amran membenarkan ikat jamin RM10,000 dan mengarahkan Lim melapor diri di pejabat SPRM di Putrajaya sekali sebulan sehingga tarikh prosiding berikut.

Murtazadi menetapkan 19 Ogos ini untuk sebutan kes.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar dan Fairus Danial Mazlan mewakili pihak pendakwaan, manakala Ang Chun Pin mewakili Lim.

Mukhzany kemudiannya menjelaskan Lim didakwa di Alor Setar kerana kesalahan itu didakwa berlaku di sini.

Semalam, Lim didakwa menerima rasuah RM500,000 daripada Goh di sebuah pusat karaoke di Persiaran Gurney untuk memastikan Chan didakwa dalam satu kes penipuan.

Dia turut didakwa menerima rasuah RM100,000 di sebuah hotel di Bayan Lepas atas tujuan sama.

Lim didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth semalam dan dia mengaku tidak bersalah terhadap 2 pertuduhan itu.