Rahsia rempah ratus menjadikan ia kedai nasi kandar tertua di negara

Pemilik kedai nasi kandar Pulau Pinang tertua di negara ini hari ini mendedahkan rahsia turun temurun yang digunakan sehingga membuatkan karinya terkenal di Pulau Pinang.

Rahsianya? Sudah tentu rempah yang dipakai.

Setiap hidangan di restoran Hameediyah diadun dengan cermat hasil pilihan rempah-rempah dari negara-negara seperti Turki, Pakistan, India dan Sepanyol.

Restoran yang berusia 114 tahun ini, tidak pernah menggunakan rempah yang dipasarkan secara komersial.

Sebaliknya, rempah-rempah kelas A ini ditumbuk atau digiling dalam kadar yang tepat bagi memastikan rasanya kekal sama.

Saat yang menggembirakan bagi kakitangan kerana restoran ini diakui sebagai kedai nasi kandar tertua di negara ini.

Ahamad Seeni Pakir Abdul Sukkor, 65, berkata, campuran rempah untuk rendang daging lembu, biryani, murtabak, kari ayam, ayam kapitan dan kari dhal tetap tidak berubah sejak 100 tahun lalu.

“Pelanggan kami sering memberitahu kami rasa tidak pernah berubah, sejak mereka masih kecil hingga mereka mempunyai anak.

“Setiap rempah dan garam yang digunakan diukur dengan betul bagi memastikan konsistensinya,” katanya kepada FMT ketika ditemui di restorannya.

Hameediyah hari ini mencipta rekodnya tersendiri dalam “Malaysia Book of Records” sebagai restoran nasi kandar tertua di negara ini.

Setiap hari, pelanggan sanggup beratur panjang menunggu dengan sabar semata-mata mahu menikmati kelazatan rempah ratus yang terdapat dalam karinya.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Book of Records Christopher Wong menyampaikan penghargaan kepada Ahamad Seeni Pakir Abdul Sukkor.

Siapa sangka, perniagaan keluarga Seeni yang bermula dengan cara sederhana dengan hanya menggunakan 2 bekas yang disangkut pada dahan pokok kini menjadi terkenal.

“Makanan yang dimasak diberikan kepada pekerja di ladang, dan ketika itu beratus orang akan datang termasuk tentera Inggeris,” cerita Seeni mengenangkan di awal permulaan perniagaan keluarganya.

Untuk makluman Seeni merupakan generasi ke-7 dinasti nasi kandar Hameediyah.

Katanya, semua bermula ketika seorang peniaga rempah ratus bernama Mohamed Thamby Rawther dari Tamil Nadu datang ke Pulau Pinang pada awal tahun 1900-an.

Dia dan keluarganya menyewa sebuah kedai di Campbell Street untuk menjual rempah mereka.

Ahamad Seeni Pakir Abdul Sukkor adalah generasi ketujuh keluarganya yang mengendalikan Restoran Hameediyah di Campbell Street di George Town.

Kemudian, mereka mula menjual makanan dari pintu ke pintu dan dari situlah maksud asal “kandar”.

Apabila perniagaan mereka bertambah baik, mereka membeli sebuah kedai dan ia sudah beroperasi sejak tahun 1907.

Untuk pengetahuan nama Hameediyah adalah gabungan daripada nama nenek moyang India mereka.

Dan pada tahun 2014, restoran ini menjalani pengubahsuaian besar namun tetap mengekalkan asal usul rekaan abad ke-19, iaitu dengan mengekalkan warna kuning-hijau.

Malah mereka juga menambahkan sistem pengudaraan dengan pemasangan kipas dapur serta penghawa dingin bagi mengelakkan bau hasil masakan.

Murtabak disediakan di pintu masuk restoran itu.

Salah satu hidangan yang terkenal di Hameediyah adalah murtabak-nya yang dimasak di depan pintu masuk restoran sekaligus pasti akan membuatkan sesiapa sahaja terliur melihatnya.

Dan bagi menampung kepadatan pelanggan, restoran ini juga menambah kapasiti ruang makan dengan membeli 3 lagi kedai bersebelahan.

Sudah pasti Hameediyah terkenal dengan nasi kandar namun hidangan khas lain yang tidak seharusnya dilepaskan termasuklah daging kambing mysore, kurma kambing, kari daging lembu, ayam kapitan dan roe ikan.

Mengenai murtabak legendarisnya, Hameediyah menjual rata-rata 15,000 keping setahun.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]