Upin dan Ipin dipilih promosi barangan Malaysia

Maskot Upin dan Ipin akan turun padang menarik orang ramai menjayakan Kempen Beli Barangan Malaysia.

SHAH ALAM: Watak animasi popular negara, Upin dan Ipin dipilih sebagai rakan strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memperhebatkan promosi Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).

Menterinya, Alexander Nanta Linggi berkata, pemilihan itu selaras objektif kempen untuk mempromosikan produk 100% keluaran tempatan, selain kejayaannya yang diiktiraf sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Populariti siri animasi ini tidak dinafikan dalam kalangan masyarakat di negara ini dan juga di peringkat antarabangsa. Bagi industri perfileman animasi untuk KBBM, kita jalin kerjasama dengan syarikat Les’ Copaque Production Sdn Bhd, iaitu pemilik watak Upin dan Ipin.

“Namun, kita tidak meminggirkan pihak lain, kita perlukan kerjasama semua bagi menjayakan kempen ini dan kita akan promosikan jenama lain juga dalam industri sama,” katanya selepas melawat syarikat animasi itu di Seksyen 13 hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPDNHEP, Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengarah Urusan Les’ Copaque, Burhanuddin Md Radzi.

Beliau berkata, pengaruh watak animasi Upin dan Ipin yang dibina lebih 10 tahun lepas amat diyakini untuk menyampaikan mesej KBBM, seterusnya membantu kerajaan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara menerusi kuasa membeli pengguna.

“Dengan kempen ini, kita harap apa juga barangan yang dibeli rakyat adalah buatan Malaysia yang tulen. Cara ini dapat memulihkan semula ekonomi negara ekoran penularan Covid-19.

“Dengan membeli barangan keluaran tempatan, ia juga dilihat dapat membantu pengusaha dan syarikat tempatan ‘menyelamatkan’ pekerja mereka daripada diberhentikan.”

Sementara itu, Burhanuddin berkata, bagi menjayakan kerjasama untuk KBBM, Les’ Copaque akan menghasilkan pesanan khidmat masyarakat Upin dan Ipin dalam masa terdekat, selain merangka beberapa cerita siri animasi berkaitan kempen itu.

Beliau berkata, maskot Upin dan Ipin juga akan turun padang menarik orang ramai menjayakan kempen itu.