Amanah bidas SPRM selepas bekas setpol Mat Sabu ditahan
Parti itu berkata, agensi anti-rasuah itu menggeledah ibu pejabat Amanah di Kuala Lumpur pada awal pagi tadi tanpa mengemukakan waran geledah.
PETALING JAYA: Amanah membidas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak “keterlaluan” ketika menggeledah ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur awal pagi tadi, susulan penahanan bekas setiausaha politik kepada Presidennya, Mohamad Sabu.
Setiausaha Agungnya, Dr Hatta Ramli berkata, agensi anti-rasuah itu menggeledah Wisma Amanah tanpa mengemukakan waran geledah kepada pegawai keselamatan.
“Apabila ditanya, mereka menjawab waran itu akan diserahkan kepada Azhar (Mat Dali, setiausaha politik presiden Amanah) yang telah dibawa bersama,” kata dalam kenyataan hari ini.
Azhar ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 8 malam Selasa, selepas hadir memberi keterangan dalam siasatan membabitkan projek penyelenggaraan sistem keselamatan negara bernilai lebih RM56 juta.
Susulan itu, Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman 6 hari sehingga 13 Julai ini ke atas Azhar.
FMT melaporkan SPRM turut menyita pelbagai mata wang tunai dianggarkan berjumlah RM71,729 dan dokumen berkaitan projek itu.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM.
Siasatan dipercayai tertumpu ke atas dakwaan suspek menerima jutaan ringgit daripada sebuah syarikat sebagai balasan mendapatkan kontrak pertahanan secara rundingan terus pada Ogos 2019.
Hatta turut mempertikaikan keperluan mereman Azhar kerana beliau mampu memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap siasatan SPRM.
“Hanya sekiranya beliau tidak hadir bila dipanggil dan tidak memberi kerjasama kepada SPRM, mungkin ada alasan untuk dia direman.”
Katanya, Amanah menuntut SPRM bersikap profesional dalam menjalankan siasatan mengikut lunas perundangan dan prosedur.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Kegagalan SPRM menjalankan siasatan secara adil dan telus boleh menimbulkan tanggapan tindakan SPRM bermotif politik dan boleh menjejaskan imejnya.”