‘Ayam Kampung Burger’ tarikan utama 2 usahawan OKU

Farid dan Idzham antara usahawan burger OKU yang berjaya.

Memulakan perniagaan bukan satu perkara yang mudah, apatah lagi jika ia melibatkan modal yang besar.

Namun ia tidak seharusnya dijadikan penghalang jika ia dilihat sebagai sumber pendapatan yang dapat menampung keperluan hidup.

Selain itu kecacatan juga tidak dijadikan alasan untuk terus maju dalam kehidupan.

Sehubungan itu kegigihan Farid Zainuddin, 31 dan Idzham Azahar, 20 wajar menjadi iktibar kepada semua orang kerana walaupun mereka merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) namun ia tidak menghalang mereka untuk memajukan diri sendiri.

Kedua-dua mereka tidak dapat mendengar atau bercakap tetapi mempunyai impian yang sama untuk menjadi usahawan yang berjaya.

Mereka kemudiannya bersama-sama membuka gerai burger di pinggir jalan di Bangi.

Terletak di Bangi ‘Aris burger’ semakin mendapat tempat dalam kalangan penduduk sekitar.

Dan berdasarkan pemerhatian jumlah pelanggan yang datang ke “Aris Burger” setiap hari membuktikan usaha kedua-dua sahabat baik ini akan berjaya.

Menurut Pengurus Operasi dan Pembangunan Perniagaan Arisprop Holdings, Najib Abdullah, beliau sentiasa memantau perkembangan perniagaan mereka malah katanya Farid dan Idzham mampu menjadi usahawan berjaya.

“Syarikat kami, Arisprop Holdings sebenarnya adalah perniagaan berasaskan unggas. Pada tahun 2018, kami memutuskan untuk memperluas rangkaian produk kami dan memperkenalkan Aris Burger. Keistimewaan kami adalah ‘Ayam Kampung Burger’,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini antara usaha yang dilakukan untuk menarik lebih ramai pengusaha menjual produk baru ini, menurut Najib syarikatnya menjalankan program yang memperincikan keunikan burger itu.

Memandangkan mereka OKU pekak dan bisu, maka setiap pelanggan perlu menulis di buku, menu yang dikehendaki.

Malah katanya Farid dan Idzham juga menceburi bidang burger ini selepas selesai program yang diadakan itu.

Dan sebagai langkah membantu kedua-dua usahawan OKU ini, syarikat itu menyediakan sebuah gerai burger, tempat penginapan berdekatan dan juga sebuah motosikal.

“Ayam Kampung Burger” menjadi pilihan pelanggan yang menggemari isi ayam yang lembut bersama dengan sos dan roti yang empuk.

“Kami bermula dengan melatih mereka pada bulan Disember tahun lalu. Kami beri mereka peluang usahakan gerai burger dan memberi mereka gaji serta komisen bulanan.

“Selepas empat bulan, kami merasakan mereka sudah bersedia untuk maju sebagai pengusaha kerana kemampuan yang dipamerkan mereka dalam menguruskan gerai itu sendiri.”

Menurut Najib memandangkan kedua-dua mereka OKU maka dia menyediakan papan tanda: “Kami adalah pengusaha bisu pekak.

Sehubungan itu, pelanggan perlu membuat pesanan mereka dengan menuliskannya di buku nota yang diletakkan di sebelah menu.

Siapa sangka seorang yang pekak dan bisu menjadi popular dalam kalangan penduduk Bangi dek kerana kesedapan burger yang mereka hasilkan.

Malah lebih membanggakan apabila Farid dan Idzham mengeluarkan wang mereka sendiri untuk membeli khemah bagi gerai burger mereka.

Inilah sikap dan semangat yang harus dicontohi kerana mampu bersaing setaraf dengan peniaga lain tanpa mengharapkan bantuan dan simpati daripada pelanggan.

Bagi mereka yang tinggal di sekitar Bangi dan ingin mencuba kelazatan burger ayam kampung boleh lah berkunjung ke gerai kedua-dua sahabat OKU ini.

Aris Burger Bangi
240, Jalan 8/3,
Seksyen 8,
Bandar Baru Bangi,
Selangor.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]