IPT dibuka sepenuhnya pada Oktober

PETALING JAYA: Semua institusi pengajian tinggi dan swasta yang ditutup sejak perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan pada Mac akan dibuka sepenuhnya pada Oktober.

Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad berkata kemasukan semua pelajar ke kampus, yang sebahagiannya sudah pulang ke kampung halaman masing-masing, akan diadakan secara berperingkat bermula Julai.

“Bagi memastikan keputusan ini dapat dilaksanakan dengan sempurna, IPT dan pelajar dipohon untuk membuat persediaan yang diperlukan mulai dari sekarang,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Kemasukan ini membabitkan 4 lagi kategori pelajar, tambahan kepada 5 kategori yang dibenarkan kembali ke IPT apabila kawalan dilonggarkan sebelum ini:

  • 30% pelajar tempatan di IPTS seperti yang dimohon persatuan kolej dan universiti swasta
  • Pelajar Tahun 1, 2, 3, dan 4 di universiti awam dalam bidang pengajian yang memerlukan latihan klinikal, latih amal, praktikal, bengkel, makmal, studio atau peralatan khusus; serta yang perlu menduduki peperiksaan badan profesional.
  • Pelajar Tahun 1, 2, 3, dan 4 di universiti awam yang tiada akses Internet atau persekitaran kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian.
  • Pelajar antarabangsa di universiti awam dan IPTS termasuk pelajar baru.

IPT diberi fleksibiliti dalam menentukan mod pembelajaran yang bersesuaian, termasuk meneruskan PdP dalam talian mengikut keperluan program.

Bagaimanapun, kementerian dan IPT prihatin mengenai masalah yang terpaksa dihadapi pelajar, seperti penginapan dan tiket penerbangan.

“Semua usaha dan langkah yang diperlukan sedang diambil bagi menangani isu ini. Oleh itu, pelajar boleh menghubungi bahagian hal ehwal pelajar di IPT masing-masing,” katanya.

Mengenai sukan dan riadah, Noraini mengumumkan pelajar perlu mematuhi SOP berkaitan, antaranya tidak melebihi 250 orang dan tertakluk kepada saiz ruang, dan penjarakan sosial.

Bagi pelajar antarabangsa pula, mereka perlu mendaftar dengan Education Malaysia Global Services sebelum dibenarkan masuk Malaysia.

Mereka juga perlu menjalani ujian tindak balas berantai polimerase atau ujian pantas antigen dalam tempoh 3 hari sebelum masuk.

“Mereka juga dikehendaki menjalani saringan kesihatan Kementerian Kesihatan di pintu masuk negara dan seterusnya menjalani kuarantin diri selama 14 hari di lokasi yang akan ditetapkan IPT masing-masing,” katanya.