Negeri berhak tak ikut jika Parlimen bubar sebelum penggal tamat

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri berhak tidak mengikut langkah membubarkan dewan legislatif sekiranya kerajaan persekutuan memohon Parlimen dibubarkan untuk membuka laluan kepada pilihan raya mengejut.

Setiausaha Bersama Sekretariat Muafakat Nasional, Annuar Musa berkata hal pembubaran Dewan Undangan Negeri dan Parlimen dinyatakan dalam Perlembagaan.

“Misalnya Parlimen dibubarkan dan selepas sehari dua menteri besar mengadap istana dan jika tidak mohon bubar, tidak ada salahnya kerana tidak wajib,” katanya pada pemberita selepas meninjau projek River of Life Fasa 2 di sekitar Jalan Masjid India semalam.

Beliau mengulas kenyataan majlis presiden Pakatan Harapan kelmarin, mengatakan kerajaan negeri yang ditadbir gabungan itu sewajarnya diteruskan dan tidak dibubarkan sekiranya berlaku pilihan raya mengejut sebelum tamat penggal pemerintahan sekarang.

Negeri yang kini ditabir PH adalah Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, dan Sabah.