Pakar pengangkutan puji Sarawak beralih dari LRT ke ART

Sistem LRT akan lebih mahal daripada ART kerana ia melibatkan pembinaan trek dan kenderaan.

PETALING JAYA: Seorang perunding pengangkutan memuji rancangan Sarawak memilih untuk membangunkan sistem Transit Aliran Automatik (ART) dan bukannya transit Transit Aliran Ringan (LRT) di Kuching, mengatakan keputusan itu lebih ekonomi yang akan mencapai tujuan yang sama.

Bercakap kepada FMT, Rosli Azad Khan, yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam perancangan pengangkutan, mengatakan ART sistem yang jauh lebih murah berbanding LRT, yang memerlukan pembinaan trek dan kenderaan.

Sering digambarkan sebagai cantuman kereta api, bas dan trem, ART adalah sistem pengangkutan penumpang yang menggunakan gerabak bertayar di jalan raya dan bukan di trek.

Ia mula dibangunkan syarikat China, CRRC Zhuzhou Institute Co Ltd, dan dilancarkan pada 2017.

“Akan ada penjimatan besar bagi kerajaan negeri yang memilih sistem ini berbanding LRT yang menyediakan tujuan yang lebih kurang sama dengan laluan pengangkutan awam khusus,” kata Rosli.

“Ia seperti Bus Rapid Transit, tapi menggunakan jalan sedia ada seperti trem tanpa membazirkan ruang atau memerlukan sejumlah wang yang besar untuk membina trek.”

Ketua Menteri Abang Johari Openg sebelum ini mengatakan ART akan menelan kos 1/3 daripada kos sistem LRT. Beliau berharap dapat melancarkan ART di Kuching menjelang 2025.

Rosli mengatakan bandar seperti Kuching mempunyai permintaan penumpang yang secara relatifnya rendah di kawasan yang luas, maka ART pilihan lebih sesuai berbanding LRT.

“Kuching akan mempunyai penumpang kurang dari 5, 000 penumpang bagi setiap arah per jam, jadi ART masuk akal.”

Selain kos modal rendah, kata Rosli, ART juga boleh jadi koridor permintaan rendah yang boleh dikembangkan pada masa depan.

“Pembangunan hartanah berdasarkan transit boleh dirancang di kawasan setiap stesen untuk meningkatkan jumlah penumpang.

“Oleh kerana ia menggunakan jalan sedia ada, kos penambahan laluan baru juga akan jauh lebih murah.”

Rosli mengatakan ini juga menjadikan ART sebagai pilihan yang lebih fleksibel kerana jalan tambahan dapat diperkenalkan jika perlu dan ia dapat disatukan dalam sistem terkini.

Salah satu kelemahannya, katanya, hanya ada satu pembekal untuk sistem ART, menyebabkan kos alat ganti yang tinggi sekiranya tiada perkongsian atau pemindahan teknologi dengan syarikat tempatan.

Bagaimanapun, kata Rosli, ia masih lebih murah daripada LRT.

“Jika Kuching menjadi bandar pertama di Malaysia yang memperkenalkan ART, bandar lain yang seukuran dengannya boleh memperkenalkannya juga jika berjaya.”