Perkeso kesan 415 kes penipuan, babit kerugian RM26 juta

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengesan sebanyak 415 kes sindiket penipuan tuntutan faedah pencen ilat atau hilang upaya kekal membabitkan kerugian berjumlah RM26 juta, yang jika dibayar berterusan boleh mencecah RM68 juta.

Ketua Eksekutif Azman Aziz Mohammed berkata, faedah itu berbentuk pencen bulanan yang dibayar sepanjang hayat kepada pencarum.

Kes itu dikesan berlaku antara 2017 hingga 2019 dan sebahagian besar sudah dilaporkan kepada polis, selebihnya dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Perkeso tidak akan berkompromi dengan kegiatan orang tengah yang bergerak secara individu mahupun yang berselindung di sebalik nama persatuan kebajikan, institusi, atau badan bukan kerajaan.

“Perkeso ingin mengingatkan orang ramai, perkhidmatan Perkeso adalah percuma dan tidak perlu menggunakan pihak lain atau orang tengah sebagai pengantara.

“Orang ramai yang pernah ditipu atau dipergunakan oleh kegiatan orang tengah, diminta tampil memberi maklumat kepada Perkeso supaya jenayah ini dapat dibanteras,” katanya pada sidang media mengenai tangkapan dalang penipuan dana Perkeso oleh SPRM hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata sindiket dikesan mengenakan bayaran antara RM15,000 hingga RM25,000 bagi setiap pelanggan bergantung kepada kes dan jumlah tuntutan.

Mengenai kes terbaru, Azman mengesahkan tangkapan 3 beranak disyaki mendalangi tuntutan palsu bernilai lebih RM1 juta.

Mereka yang berusia 35 hingga 67 tahun itu ditahan selepas memberi keterangan di SPRM Putrajaya pada 6 Julai.

Katanya, sindiket itu dipercayai memanipulasi laporan perubatan pihak hospital bagi membolehkan mereka membuat tuntutan dan insurans dengan menukar “pesakit” ketika melakukan pemeriksaan perubatan.

“Buat masa ini kita tidak boleh dedahkan maklumat terperinci mengenainya kerana masih dalam siasatan bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja. Kenyataan lanjut akan dimaklumkan selepas siasatan selesai,” katanya.