Polis dipenjara 10 bulan, denda RM10,000 ambil rasuah tukar sampel air kencing

PUTRAJAYA: Seorang anggota polis dihukum penjara 10 bulan dan denda RM10,000 kerana menerima rasuah untuk menukar sampel air kencing 2 suspek daripada positif kepada negatif 13 tahun lalu.

Panel 3 hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Kamaludin Md Said memutuskan sabitan Shahrul Anuar Abdullah oleh Mahkamah Tinggi 2 tahun adalah wajar.

“Rayuan ditolak dan kami mengarahkan waran komital dikeluarkan,” kata Kamaludin yang bersidang dengan P Ravinthran dan Ahmad Nasfy Yasin.

Shahrul, yang diwakili Hisyam Teh Poh Teik, segera digari dan dibawa untuk menjalani hukuman penjaranya kerana ia adalah mahkamah rayuan terakhir.

Dia diikat jamin sejak pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar pada 2009.

Shahrul, yang berkhidmat dengan unit narkotik negeri, menerima RM1,000 pada 1 Nov 2007 daripada Mohamed Mustaqim Othman sebagai dorongan untuk menukar contoh air kencing Mohammad Farzus Othman dan Che Asri Che Nat.

Wang itu dimasukkan ke satu akaun simpanan Maybank.

Shahrul melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 ketika itu yang memperuntukkan hukuman penjara 14 hari hingga 20 tahun serta denda tidak kurang 5 kali nilai suapan.

Timbalan Pendakwa Raya, Wong Poi Yoke terdahulu berkata, terdapat bukti dorongan untuk memujuk Shahrul menukar 2 sampel itu.

“Pengadu (Mustaqim) ialah saksi boleh dipercayai kerana dia mempunyai slip deposit wang itu dan menyimpan mesej teks daripada tertuduh.”

Beliau kemudian memberitahu wartawan, kes itu mengambil masa sangat lama untuk diselesaikan kerana Shahrul pada mulanya dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Ketika rayuan di Mahkamah Tinggi, dia diarah membela diri, tetapi dibebaskan kemudian pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah Tinggi kemudiannya mengetepikan pembebasan itu dan menjatuhkan hukuman penjara 2 serta denda RM10,000 ke atas Shahrul.

“Kes ini kemudiannya dibawa ke Mahkamah Rayuan kerana hakim Mahkamah Tinggi mendengar kes itu dengan cara semakan jenayah, bukannya rayuan disebabkan hakim Mahkamah Sesyen tidak menulis alasan penghakimannya,” kata Wong.

Akhirnya, Mahkamah Rayuan menghantar kes itu ke Mahkamah Tinggi di mana Hakim Chan Jit Li menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM10,000 terhadap Shahrul. Jika gagal membayar denda itu, dia perlu menjalani hukuman penjara tambahan 4 bulan.