Sebelum meninggal Pesakit Covid-19 beri peringatan pakai topeng, jaga jarak sosial

Tular di Facebook salah seorang pesakit Covid-19 dijangkiti disebabkan tidak pakai topeng dan penjarakan sosial hingga dirinya maut.

Amerika Syarikat antara negara paling teruk terjejas dengan pandemik Covid-19 sehingga kini mencatatkan 3,040,833 kes.

Ia sekaligus kekal menjadi negara di kedudukan teratas diikuti oleh Brazil dan India.

Baru-baru ini tular di Facebook seorang pemandu lori berusia 51 tahun dari California sempat memberikan pesanan terakhirnya sebelum dia menghembuskan nafas terakhir akibat wabak itu.

Thomas Macias merupakan pesakit diabetes mengikuti langkah-langkah pencegahan dengan memakai topeng muka dan penjarakan sosial semasa wabak ini mula menular.

Tetapi ketika negara itu mula melonggarkan sekatan dan membuka restoran, Thomas mula berasa selesa dan dilihat keluar bersantai untuk bertemu dengan rakan-rakan.

Malah, dia juga sempat menghadiri majlis barbeku bersama rakan-rakannya.

Bagaimanapun beberapa hari kemudian dia mula merasa sakit tetapi dia beranggapan mungkin disebabkan penyakit diabetesnya.

Dalam keadaan tidak sihat itu dia turut melawat ibu dan saudaranya.

“Kerana kebodohan saya, nyawa ibu, kakak dan keluarga saya dalam bahaya,” tulisnya di Facebook.

Tidak lama selepas itu, seorang rakan yang pernah menghadiri barbeku yang sama memberitahunya mereka disahkan positif Covid-19 dan meminta dia untuk melakukan ujian saringan.

Salah seorang rakan itu sebenarnya sudah disahkan positif Covid-19 tetapi mengambil mudah kerana tidak menunjukkan sebarang simptom.

Inilah padahnya apabila mereka juga percaya tidak boleh menjangkiti sesiapa jika mereka tidak merasa sakit.

Bagaimanapun pegawai kesihatan sebelum ini sudah memberi peringatan virus itu dapat menular walaupun pesakit tidak pernah menunjukkan gejala Covid-19.

Namun Thomas bersyukur kerana kemudian ibu dan kakaknya diuji negatif virus itu.

Tetapi dirinya sendiri menunjukkan simptom yang agak teruk membuatkan dia menulis catatan terakhirnya di Facebook.

Dia kemudian memanggil adik-beradiknya dan memberitahu dia menghadapi masalah pernafasan.

Beberapa jam selepas itu, dia disahkan meninggal dunia.

Perkongsian itu diharap dapat menyedarkan orang ramai untuk sentiasa berjaga-jaga.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]