Sime Darby tak tahu dakwaan guna buruh paksa oleh NGO

Liberty Shared memfailkan petisyen melarang pengimportan minyak sawit dihasilkan Sime Darby Plantation berikutan bukti mendakwa kanak-kanak dan buruh paksa digunakan di ladangnya yang mengeksport bekalan kepada syarikat makanan dan kosmetik AS.

PETALING JAYA: Syarikat gergasi kelapa sawit, Sime Darby Plantation (SDP) hari ini menafikan dakwaan penggunaan kanak-kanak dan buruh paksa oleh sebuah kumpulan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Katanya, ia tidak tahu mengenai dakwaan khusus terkandung dalam satu petisyen difailkan terhadapnya kepada Kastam dan Perlindungan Sempadan AS.

SDP dalam satu kenyataan berkata, Liberty Shared tidak menghubunginya untuk mendapatkan maklum balas berhubung dakwaan itu sebelum mengemukakan petisyen terhadapnya.

Katanya, ia hanya mempunyai akses kepada ringkasan petisyen itu yang mengandungi isu berbangkit, tetapi “tanpa perincian mengenai temubual yang dijalankan”.

“Atas semangat keterbukaan, ketelusan dan kerjasama yang dipegang SDP, kami bercadang berinteraksi dengan Liberty Shared untuk lebih memahami dakwaan ini secara terperinci bagi membolehkan kami melakukan siasatan menyeluruh dan segera, serta mengambil tindakan pembetulan kerana penemuan itu mungkin wajar.”

Terdahulu, agensi berita AP melaporkan NGO tersebut memfailkan petisyen melarang pengimportan minyak sawit dihasilkan Sime Darby berikutan bukti mendakwa kanak-kanak dan buruh paksa digunakan di ladang yang mengeksport bekalan kepada syarikat makanan dan kosmetik AS.

Dakwaan itu, termasuk penahanan gaji, pasport dan tempat tinggal tidak mencukupi, berdasarkan temubual dengan pekerja tempatan dan asing sejak 2 tahun lalu.

Pengarah Urusan Liberty Shared, Duncan Jepson berkata, kumpulan itu turut menemui kumpulan masyarakat awam dan meneliti pendedahan awam, laporan audit serta inisiatif lestari.

Menerusi laporan AP, kumpulan itu berkata, mereka “mendapati Sime Darby mengambil beberapa langkah konkrit untuk mencegah penyalahgunaan”.

AP melaporkan petisyen terhadap SDP menyusul 2 petisyen lain yang difailkan sebuah firma undang-undang dan gabungan NGO ke atas FGV Holdings Bhd.

SDP berkata, ia mengambil berat dakwaan itu kerana bertentangan komitmen yang dibuatnya secara terbuka dalam piagamnya mengenai pertanian bertanggungjawab dan hak asasi manusia.

Katanya, ia turut mencapai kemajuan dalam meningkatkan amalan buruhnya yang dinyatakan dalam laporan lestari pada 2019.

“Kami benar-benar komited untuk membasmi kejadian ketidakpatuhan dengan mengambil tindakan pembetulan wajar dan segera jika dan ketika ia berlaku.”