SOP tadika boleh bantut perkembangan kanak-kanak, kata pakar

Penjarakan sosial dan larangan ke atas kegiatan berkontak tinggi kini menjadi norma di tadika.

PETALING JAYA: Seorang pakar pendidikan menyeru suatu ilmu pengajaran taman didikan kanak-kanak baru bagi mengurangkan kesan buruk SOP yang menghalang dan menyekat penggunaan sumber seperti alat permainan.

Mohd Nazri Abdul Rahman dari Universiti Malaya mengingatkan sekatan itu boleh membantutkan perkembangan kanak-kanak sekiranya guru gagal temui cara baru untuk merangsang mereka dalam kegiatan kelas.

Kanak-kanak perlukan rangsangan fizikal untuk perkembangan mereka dan penggunaan alat permainan bukan satu-satunya cara. Beliau mencadangkan penggunaan sumber audio dan visual serta tubuh kanak-kanak itu.

Nazri menggesa guru menggunakan kreativiti untuk menghasilkan tugasan yang boleh menarik perhatian kanak-kanak dan mengalakkan penyertaan mereka.

“Kanak-kanak belajar menerusi interaksi dengan persekitaran melalui sentuhan, pemerhatian, rasa, atau pendengaran,” katanya.

“Guru perlu perkenalkan ilmu pengajaran baru untuk memenuhi keperluan kanak-kanak dan sesuai dengan sekatan fizikal dalam latar pembelajaran semasa.”

Nazri mencadangkan permainan berkumpulan digantikan dengan permainan imaginasi.

Beliau juga mengesyorkan penggunaan permainan mendidik dalam talian dan buku digital. “Menugaskan mereka buat bahan pembelajaran dalam talian boleh membantu mereka kejar beberapa topik dan kemahiran di rumah.”

Nazri maklum SOP tidak membenarkan kontak rapat dan permainan luar, dan menggesa guru mencari alternatif yang berinovasi bagi mendorong murid terlibat dalam kegiatan fizikal.

Beliau juga berkata norma baru menyebabkan ibu bapa harus menguatkan lagi sokongan mereka. “Ibu bapa perlu menggandakan usaha menyediakan pengalaman pembelajaran berterusan di rumah.”

Nazri mengesyorkan masa permainan dan kegiatan fizikal lain bersama ahli keluarga di rumah. “Ini bagi menyokong kekurangan kegiatan fizikal atau nyata dalam persekitaran tadika.”

Tadika dibuka semula pada 1 Julai, tertakluk pada SOP yang ketat. Meja diatur mengikut penjarakkan sosial dan kegiatan berkumpulan atau berkontak tinggi tidak dibenarkan.