13 pesakit Covid-19 sembuh, 6 kes baru

PETALING JAYA: Enam kes baru Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, meneruskan trend 1 angka selepas 4 Julai lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan 13 pesakit sembuh hari ini, dan 63 mangsa sedang dirawat di seluruh negara.

Dua daripada pesakit Covid-19 ditempatkan di unit rawatan rapi, dengan seorang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Jumlah kematian kekal 121 orang sehingga hari ini.

Mengenai kes baru hari ini, Hisham melaporkan semuanya kes import melibatkan 5 warganegara dan 1 bukan warganegara yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Tiga kes dari Indonesia, 2 dari Singapura, dan 1 kes dari Mesir. Tiada kes penularan tempatan untuk kali ke-3 pada hari ini,” katanya.

Sehingga kini, Malaysia melaporkan 8,683 kes Covid-19 dengan 8,499 daripadanya sembuh.

Dalam pada itu Noor Hisham berkata, kluster syarikat pembersihan Kuala Lumpur tamat pada hari ini.

Katanya, kluster itu adalah salah satu kluster tempat kerja Covid-19 yang dikenal pasti di negara ini.

“Kluster ini dikesan hasil saringan 10 orang pekerja bukan warganegara.
“Saringan tersebut merupakan inisiatif majikan tersebut untuk menyaring pekerja bukan warganegara mereka,” katanya.

Noor Hisham berkata, sehingga hari ini seramai 33 orang disaring yang terdiri daripada 16 rakyat Malaysia dan 17 bukan warganegara.

Katanya, daripada jumlah itu, 4 yang didapati positif Covid-19 adalah 3 pekerja syarikat dan 1 kontak rapat mereka.

“Keempat-empat kes adalah dalam kalangan warga Indonesia.

“Kementerian Kesihatan ingin mengucapkan terima kasih atas kerjasama majikan dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19,” katanya.

Noor Hisham juga berkata, setakat ini, terdapat 15 kluster yang disenaraikan di bawah kluster tempat kerja.

Beliau berkata, sebanyak 11 kluster diisytiharkan tamat, termasuk 1 kluster yang tamat pada hari ini, iaitu kluster syarikat pembersihan Kuala Lumpur.

Noor Hisham berkata, terdapat 4 kluster yang masih aktif, iaitu kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur 2, kluster Pedas, kluster syarikat pembersihan dan kluster tapak pembinaan Kuching.