AS catat 55,000 kes baru Covid-19 dalam 24 jam

Orang ramai menunggu giliran di pusat ujian Covid-19 di Kedutaan Meixco di Houston, Texas ketika kes di negeri itu dilaporkan terus meningkat. (Gambar AP)

WASHINGTON: Amerika Syarikat melaporkan 55,000 kes baru Covid-19 dalam tempoh 24 jam pada Rabu, menjadikan jumlah keseluruhan 3,046,351 kes sejak pandemik itu bermula, menurut kiraan Universiti Johns Hopkins.

Ini menjadikannya kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan jangkitan melepasi 3 juta kes pada Rabu.

Bagaimanapun, angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi berikutan masalah untuk menjalankan saringan pada Mac dan April.

Negara itu turut melaporkan 833 kematian berkaitan Covid-19, menjadikan jumlah kematian seramai 132,195 orang, menurut universiti di Baltimore itu.

Presiden Donald Trump kebiasaannya memperkecilkan angka-angka itu, mengatakan ia hasil peningkatan kapasiti ujian pada Jun.

Kes sedang melonjak di beberapa negeri selatan termasuk Texas, Florida, Louisiana, dan Arizona, tetapi bekas pusat wabak di New York dan timur laut hampir pulih sepenuhnya.

Beberapa negeri juga terpaksa menangguhkan proses pembukaan semula atau kembalikan penutupan.

Pada pagi Rabu, Trump meminta sekolah di seluruh negara dibuka semula, memarahi agensi kesihatan AS supaya melonggarkan syarat kesihatan dan keselamatan yang dikenakan untuk memperlahankan penularan virus, seperti penjarakan sosial.