‘Datuk’, 5 suspek kes culik, bunuh ahli perniagaan dituduh hari ini

Salah seorang dari 6 lelaki yang didakwa di Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan menculik seorang ahli perniagaan.

KUALA LUMPUR: Enam suspek termasuk seorang lelaki bergelar Datuk dan warga Bangladesh yang disyaki terbabit dalam kes culik dan bunuh seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri, akan dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata, pertuduhan terhadap 6 lelaki itu akan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Culik dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

“Sejumlah 11 tangkapan dibuat bagi siasatan berhubung kes ini dan Jabatan Peguam Negara mengeluarkan arahan untuk pertuduhan dibuat terhadap 6 suspek berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bernama sebelum ini melaporkan mayat seorang ahli perniagaan berusia 55 tahun ditemukan di kawasan belukar Batu 27, Jalan Rawang Bestari Jaya pada 27 Jun selepas 18 hari diculik.

Mangsa, yang juga seorang pemaju hartanah, dipercayai diculik ketika bersenam di kawasan taman permainan di Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada 10.30 pagi 10 Jun.

Siasatan polis mendapati seorang daripada suspek membuat panggilan dan meminta wang tebusan S$50 juta daripada keluarga mangsa, namun tiada pembayaran dibuat.

Pada 2 Julai lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed dilaporkan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan motif kes berkenaan disebabkan masalah hutang dan perniagaan.