Dokumentari ‘lockdown’ seimbang, kata Al Jazeera menjawab kritikan pemimpin kerajaan

Al Jazeera mempertahankan diri terhadap dakwaan berat sebelah oleh pihak berkuasa Malaysia berhubung program terbarunya berkait layanan ke atas pendatang asing di Kuala Lumpur. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Saluran berita antarabangsa Al Jazeera hari ini mempertahankan diri terhadap dakwaan berat sebelah mengenai layanan Malaysia ke atas pendatang asing sewaktu pelaksanaan perintah sekatan bagi menghalang penularan wabak Covid-19.

Saluran berita berpangkalan di Doha itu berkata, program 101 East yang menyiarkan dokumentari berdurasi 25 minit bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” pada 3 Julai adalah hasil kerja “kewartawanan yang mendalam dan berkualiti tinggi”.

“Episod ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ mengandungi pandangan dan pengalaman sejumlah individu daripada latar belakang yang berlainan, termasuk seorang doktor Malaysia yang dihormati dan pekerja bantuan di barisan hadapan.

“Ia disebut dengan jelas dalam filem itu bahawa Al Jazeera mengiktiraf bahawa respons Covid-19 Malaysia berjaya mengawal penularan virus itu,” kata Al Jazeera dalam responsnya terhadap kritikan bertali arus daripada pemimpin kerajaan yang menuduh saluran itu berat sebelah.

Al Jazeera berkata, ia berjaya menerbitkan laporan yang seimbang walaupun tidak dipedulikan oleh pegawai kanan kerajaan dan dilarang menghadiri taklimat media kementerian.

“Berulang kali permohonan untuk temu bual kami tidak dilayan.

“Al Jazeera juga memohon untuk hadir sidang media menteri pertahanan, tetapi diberitahu bahawa hanya media kerajaan dibenarkan,” katanya merujuk kepada taklimat harian oleh Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob yang menyaksikan hanya stesen penyiaran kerajaan RTM dan agensi berita kebangsaan Bernama dibenarkan hadir.

Ia berkata, episod itu tidak mengandungi pandangan peribadi mana-mana kakitangan Al Jazeera dan saluran itu bersedia menerbitkan rancangan untuk wakil kerajaan Malaysia menjawab isu yang ditimbulkan dalam dokumentasi itu melalui Al Jazeera English.

Polis menyiasat Al Jazeera kerana menghasut, menfitnah dan menyalahgunakan kemudahan rangkaian yang menyaksikan individu yang terlibat dengan laporan itu dipanggil memberi kenyataan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pagi esok.

Menyuarakan kebimbangan bahawa kakitangannya kini tertakluk kepada siasatan polis, Al Jazeera menggesa pihak berkuasa supaya tidak memulakan siasatan jenayah ke atas pemberitaannya dengan berkata, peristiwa yang dilaporkan dalam dokumentari itu turut dilaporkan secara meluas oleh media lain, baik dalam negara atau antarabangsa.

Saluran itu juga berkata, ia juga bimbang susulan serangan atas talian yang dihadapi kakitangannya selepas wartawannya menjadi sasaran pesanan jelek dan ugutan bunuh.

Maklumat peribadi kakitangan dan bekas kakitangannya disiarkan secara atas talian walaupun ia melanggar kerahsiaan peribadi dan Al Jazeera khuatir ini akan mendedahkan mereka kepada “risiko lebih besar” sekarang atau pada masa akan datang.

Ia juga menyuarakan kebimbangan berhubung keselamatan individu yang ditemu bual dalam dokumentari tersebut susulan serangan atas talian dan ucapan kebencian yang berlaku.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba menafikan dakwaan rasisme yang dibuat sebagai “tidak berasas”, dengan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin membidas dokumentari tersebut kerana “putar belitnya”.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata, laporan itu penuh “dengan penipuan, niat buruk dan tidak mempunyai fakta jelas”, sekali gus menggesa Al Jazeera meminta maaf.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud memberi amaran kepada warga asing yang “membuat kenyataan tidak tepat bertujuan merosakkan nama baik Malaysia” bahawa mereka berdepan kemungkinan pembatalan pas masing-masing.

Jabatan itu juga menyiarkan maklumat peribadi seorang pekerja warga Bangladesh yang dikehendaki kerana bercakap mengenai dakwaan layanan buruk oleh pegawai imigresen dalam laporan 101 East itu.

“Orang ramai harus berasa bebas untuk bercakap kepada media dan menyuarakan pandangan mereka tanpa rasa takut akan dijadikan sasaran,” kata Al Jazeera.

“Di dunia yang menyaksikan media berdepan semakin banyak ancaman, Al Jazeera menggesa supaya kebebasan media dan hak untuk membuat laporan tidak dihalang”.