Keputusan permohonan Muhyiddin batal saman Mahathir 7 Ogos depan

Pada 9 Jun, Mahathir, anaknya Mukhriz, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Maszlee Malik, Amiruddin Hamzah dan Marzuki Yahya memfailkan saman terhadap Muhyiddin dan 4 yang lain berhubung pembatalan keahlian mereka dalam PPBM.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 7 Ogos ini bagi memutuskan permohonan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan 3 lagi untuk membatalkan saman yang dikemukakan oleh Dr Mahathir Mohamad dan lain-lain berhubung pembatalan keahlian mereka dalam PPBM.

Peguam Muhyiddin, Rosli Dahlan memberitahu pemberita hakim Rohani Ismail menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak di dalam kamar hari ini.

Rosli berkata, beliau menghujahkan bahawa tiada penamatan keahlian yang dibuat oleh parti ke atas Mahathir dan defendan lain.

“Pertama sekali, Mahathir meletak jawatan sebagai pengerusi dan menurut Perkara 10.2.6 perlembagaan parti, mereka bukan lagi ahli parti apabila mereka memfailkan saman ini,” katanya.

Rosli yang turut mewakili setiausaha agung PPBM Hamzah Zainudin dan setiausaha kerja patyi itu Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya berkata, beliau juga menghujahkan bahawa menurut Seksyen 18C Akta Pertubuhan, sebarang keputusan yang dibuat oleh parti politik adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah.

“Seksyen 18C diluluskan di Parlimen pada 1999 semasa era Mahathir dan sekarang beliau berkata, peruntukan ini tidak terpakai,” katanya.

Peguam itu berkata, saman tersebut juga pincang kerana Mahathir dan lain-lain menamakan PPBM sebagai pihak dalam saman sivil.

“Seseorang tidak boleh menamakan pertubuhan atau persatuan dalam saman dan ini jelas dinyatakan dalam Seksyen 9C Akta Pertubuhan.

“Sesebuah persatuan atau pertubuhan hanya boleh mengemukakan saman atau disaman menerusi penjawat jawatan dalam parti,” katanya.

Muhyiddin yang juga presiden PPBM, Hamzah, Muhammad Suhaimi dan Pendaftar Pertubuhan (RoS) selaku defendan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 17 Jun atas alasan ia adalah tindakan yang remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah, selain Mahathir dan 6 plaintif lagi tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman sivil.

Peguam Mahathir, Mohamed Haniff Khatri Abdulla memberitahu pemberita bahawa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang merupakan plaintif ketiga telah menarik balik saman dan tidak lagi dinamakan sebagai plaintif dalam saman berkenaan.

“Bagaimanapun, penarikan balik itu tidak menjejaskan kes. Mahkamah cuma membatalkan saman Syed Saddiq,” katanya.

Pada 18 Jun, mahkamah menolak permohonan injunksi ad-interim yang dikemukakan oleh Mahathir, anaknya Mukhriz, Syed Saddiq, Maszlee Malik, Amiruddin Hamzah dan Marzuki Yahya untuk mengekalkan keahlian mereka dalam parti, sementara menunggu pendengaran injunksi inter partes berkaitan saman mereka.

Kesemua mereka, termasuk parti yang dinamakan sebagai plaintif ke-7, memfailkan saman itu pada 9 Jun lepas terhadap Muhyiddin dan 4 lagi berhubung pembatalan keahlian mereka dalam PPBM.