Menteri: Kerajaan benar operasi pawagam pandu masuk

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan memperincikan SOP berkaitan aktiviti itu untuk rujukan operator pawagam pandu lalu. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Kerajaan hari ini membenarkan aktiviti pawagam pandu masuk, tetapi mesti mmematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, pengunjung mesti berada dalam kenderaan masing-masing, penjualan makanan dibuat dalam talian dan mengambil makanan secara pandu lalu.

“Petugas Rela juga perlu ditempatkan untuk mengawal pergerakan pengunjung,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat khas menteri mengenai perkara itu, hari ini.

Ismail berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperincikan SOP berkaitan aktiviti itu untuk rujukan operator terbabit.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan aktiviti pawagam, teater, kolam renang dan acara secara langsung dibenarkan beroperasi mulai 1 Julai lalu.

Dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengarahkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Ia kemudian dilonggarkan sedikit demi sedikit dengan pengenalan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dan kini perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang dijadualkan tamat pada 31 Ogos depan.

Kawalan sempadan negara

Dalam pada itu, Ismail berkata, polis membuat 66 sekatan jalan raya dalam Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 39,407 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), terutama melalui lorong tikus.

Katanya, setakat ini polis juga berjaya menahan 10 warga asing kerana kesalahan imigresen.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan, terutama di lorong tikus,” katanya.

630 rakyat Malaysia pulang ke tanah air

Sementara itu, Ismail berkata, 630 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 dari Singapura, Indonesia, India, Nepal, Qatar, UAE, Hong Kong, Ethiopia, Brunei dan Timor Leste, semalam.

Katanya, daripada jumlah itu, 624 individu diperintah menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing, manakala 6 individu dibawa ke hospital.

“Polis membuat 1,056 pemantauan pematuhan SOP kuarantin rumah dan mendapati semua mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.