Minta maaf atau salah tafsir, Mersing milik Umno, kata Zahid

Presiden Umno Zahid Hamidi berkata, parti itu akan mengambil semula kerusi Parlimen Mersing daripada PPBM.

PETALING JAYA: Presiden Umno, Zahid Hamidi menegaskan partinya akan mengambil balik Parlimen Mersing daripada PPBM, selepas menteri parti sekutu itu didakwa berkata, “Umno Sabah tidak laku”.

“Minta maaf ke, salah tafsir ke, kerusi Mersing kekal milik Umno. Memang milik Umno,” katanya di Twitter.

Sebelum ini, laman web kelab penyokong kerajaan Perikatan Nasional, PNBBC melaporkan bahawa Menteri Pembangunan Luar Bandar, Abdul Latiff Ahmad yang juga merupakan ahli Parlimen Mersing memohon maaf sekiranya kenyataan beliau itu menyinggung perasaan mana-mana pihak.

“Kenyataan itu adalah kenyataan peribadi, bukan mewakili parti,” katanya.

Terdahulu tular video Latiff mengulas tentang Umno Sabah dan penghijrahan ahli parti itu ke PPBM dalam suatu forum yang menyaksikan beliau membuat kenyataan tersebut.

Latiff mewakili Parlimen Mersing selama 5 penggal berturut-turut sejak 1999 mewakili Umno. Pada 2018 beliau sekali lagi memenangi kerusi itu atas tiket Barisan Nasional (BN) mengalahkan calon PPBM dan PAS dengan majoriti 8,459 undi. Beliau menyertai PPBM pada 2019.