Penahanan pegawai Mat Sabu ikut peraturan, kata SPRM

SPRM berkata, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati boleh membuat laporan polis atau mengambil tindakan yang difikirkan wajar.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempertahankan penahanan setiausaha politik Mohamad Sabu berikutan kritikan daripada parti bekas menteri pertahanan itu.

Timbalan ketua pesuruhjaya (operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya memberitahu FMT bahawa penahanan pembantu berusia 48 tahun itu, yang dikenal pasti sebagai Mohd Azhar Che Mat Dali, dibuat menurut undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) agensi tersebut.

“Siasatan akan dijalankan secara profesional. Sekiranya mana-mana pihak tidak berpuas hati terhadap tindakan itu, pihak terbabit boleh membuat laporan polis atau mengambil tindakan yang difikirkan wajar.

“SPRM menggesa semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan memberikan masa dan ruang untuk siasatan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam setiausaha agung Amanah Dr Hatta Ramli membidas SPRM dengan berkata, pegawai agensi anti rasuah itu “berlebihan” kerana menyerbu ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur ketika menjalankan siasatan mereka.

Beliau mendakwa pegawai SPRM gagal mengemukakan waran geledah sewaktu tiba di Wisma Amanah Negara dan mereka memberitahu pihak keselamatan di bangunan itu bahawa waran akan diserahkan kepada Azhar yang kini ditahan reman.

Azhar ditahan reman sehingga 13 Julai berhubung siasatan berkait program pertahanan bernilai RM56 juta.

FMT sebelum ini melaporkan SPRM merampas wang tunai sebanyak RM71,729 dalam pelbagai mata wang berserta dokumen berkaitan projek berkenaan.

“SPRM akan tetap meneruskan siasatan ini sehingga selesai secara profesional dan adil mengikut lunas undang-undang yang diperuntukkan,” kata Khusairi.