Permintaan untuk pelatih industri meningkat, kata majikan

Terdapat peningkatan kekosongan untuk pelatih di sektor kewangan dan teknologi maklumat serta perniagaan dan pengurusan.

PETALING JAYA: Permohonan kerja bagi latihan industri (internship) dalam kalangan pelajar dilihat semakin meningkat susulan kemunduran ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Ini kerana bayaran mereka lebih murah, kata seorang pengasas platform dalam talian yang menghubungkan pelajar dengan majikan.

Chew Yinxie dari Internspoon beritahu FMT terdapat peningkatan kekosongan untuk pelatih di sektor kewangan dan teknologi maklumat serta perniagaan dan pengurusan.

Beliau menjelaskan ada permintaan yang tinggi untuk pelatih bagi kerja-kerja operasi di bahagian sokongan pelanggan dan reka bentuk grafik.

Majikan juga mendapati lebih mudah menguruskan pelatih berbanding pekerja sepenuh masa, dan mereka lebih fleksibel dalam hal kemahiran.

“Jika ia kerja sementara, dan majikan perlukan seseorang untuk kekosongan itu, mereka tidak perlu upah seseorang sepenuh masa,” katanya.

“Pelajar latihan industri sangat berguna dalam pelaksanaan projek dan menyokong kumpulan bisnes.”

Beliau juga mengatakan graduan baru, tanpa mengira kursus di universiti, lebih mahir teknologi digital dan pemasaran media sosial berbanding pekerja yang berusia.

“Mereka mempunyai idea yang segar, sentiasa mengikuti perkembangan teknologi dan menarik minat majikan.”

Chew mengakui beberapa syarikat mungkin melambatkan pengambilan pelajar latihan industri bukan hanya kerana cabaran ekonomi tetapi juga kerana kebimbangan ibu bapa yang tidak menggalakkan anak bekerja kerana bimbang dengan wabak Covid-19.

“Ada majikan mengambil pelatih pada Mac, tapi oleh kerana ibu bapa memutuskan panggil balik anak mereka, majikan mungkin rasa perlu tangguh dulu pengambilan hingga Julai,” katanya.

“Namun, latihan industri bidang yang menarik untuk diterokai selagi majikan berfikiran terbuka dan mahu memupuk bakat,” katanya.