Sebutan kes babitkan menteri Sabah pada 28 Julai

Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Peter Anthony dijangka berdepan pertuduhan ‘menggunakan dokumen palsu sebagai dokumen asal’.

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Peter Anthony dijadual hadir di Mahkamah Sesyen di sini pada 28 Julai bagi menghadapi pertuduhan terhadap dirinya.

Beliau tidak hadir ke mahkamah pada 22 Jun lepas kerana dimasukkan ke Hospital Kota Kinabalu akibat vertigo.

Hakim Mahkamah Sesyen ketika itu menaggguhkan kes beliau ke 10 Julai.

Peguam Anthony, Haniff Khatri Abdulla mengesahkan penangguhan terbaru itu.

Menteri negeri itu dijangka berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana didakwa “menggunakan dokumen palsu sebagai dokumen asal”.

Hukuman maksimun bagi sabitan kesalahan di bawah seksyen itu ialah 2 tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bulan lepas Anthony berdepan 5 pertuduhan pengubahan wang berjumlah RM8.75 juta di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu berhubung urus niaga melibatkan tanah Risda.

Satu lagi pertuduhan dibuat terhadapnya kerana didakwa bersubahat dengan seorang peguam, Micheal Persius Ubu, melakukan pecah amanah jenayah (CBT).

Ubu berdepan 2 pertuduhan pengubahan wang lebih RM3 juta dan 1 pertuduhan CBT.

Urus niaga tanah Risda disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara 2017 dan 2018 dan Ubu tidak berada di Sabah ketika SPRM meminta pertolongan beliau bagi membantu siasatan.