Sektor ekonomi di Pelabuhan Klang pulih berperingkat, kata Wee

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong (tengah) bersama Jemaah Lembaga Pelabuhan Klangpadasidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke sini, hari ini.

KLANG: Sektor pelabuhan dan logistik dijangka kembali pulih secara berperingkat melalui pembukaan sektor ekonomi di Pelabuhan Klang berbanding bulan Mac hingga Mei sepanjang tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, beberapa langkah pemulihan, termasuk pemberian insentif kewangan kepada sektor logistik dan perkapalan susulan kesan penularan pandemik Covid-19.

Katanya, Jemaah Lembaga Pelabuhan Klang yang yang bersidang pada 6 Julai lalu telah meluluskan beberapa kaedah termasuk enam pemberian insentif untuk sektor berkenaan.

“Pelanjutan tempoh simpanan percuma tambahan import daripada 4 hari dinaikkan kepada 6 hari, manakala untuk eksport daripada 5 hari dinaikkan kepada 7 hari.

“Langkah ini dijangka membolehkan pengimport dan pengeksport tempatan menggunakan yad pelabuhan untuk simpanan kargo sekiranya premis mereka tidak mempunyai ruang yang mencukupi tanpa dikenakan sebarang bayaran,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Lembaga Pelabuhan Klang di sini, hari ini.

Wee turut memaklumkan pengecualian permit dan yuran dalam tempoh sehingga Disember 2020 yang dikenakan oleh Other Government Agencies (OGA) turut diberikan bagi mengurangkan kos yang ditanggung oleh pengguna pelabuhan seterusnya menggalakkan pertumbuhan dalam sektor itu.

Katanya, insentif komersial daripada operator terminal kepada syarikat perkapalan, pengimport dan pengeksport turut disertakan bagi meringankan beban kewangan dan menggalakkan aktiviti perdagangan.

Beliau berkata, sistem digitalisasi secara bersepadu turut dibangunkan di Pelabuhan Klang bagi meningkatkan produktiviti, seterusnya mempelbagaikan variasi perdagangan dalam sektor logistik.

“Mempertingkatkan kapasiti infrastruktur di Pelabuhan Klang bagi mempertingkatkan lagi produktiviti dan perdagangannya.

“Pemberian insentif kewangan oleh LPK berjumlah RM3,234,615 kepada penyewa-penyewa tanah LPK, syarikat perkapalan dan operator jeti mulai pada Mac 2020 hingga Disember 2020,” katanya.

Katanya, penangguhan terhadap bayaran sewa pajakan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) sebanyak 30% diberi untuk tempoh 6 bulan dari Julai hingga Disember 2020 yang berjumlah RM14 juta dan akan dibayar semula oleh pemajak pada tahun 2021.

Pelabuhan ke 10 terbesar dunia

Dalam perkembangan lain, Wee turut memaklumkan pihaknya meletakkan sasaran menjadikan Pelabuhan Klang ke 10 terbesar di dunia.

“Potensi Pelabuhan Klang sangat besar, sekarang kita dalam kedudukan ke-12 terbesar, tidak jauh dari kedudukan 11 dan 10, ini merupakan hasrat kita menjadi salah satu daripada 10 pelabuhan terbesar di dunia.

“Antara perkara perlu kita lakukan ialah meneruskan projek-projek pembesaran terminal kita dan pada masa sama pegendalian kargo dan kontena perlu ditingkatkan.

“Kerajaan, khususnya Kementerian Pengangkutan akan memberi sokongan penuh kepada projek pembesaran terminal,” katanya.

Wee turut memaklumkan bahawa kritikan terhadap projek PKFZ sebelum ini ternyata meleset apabila pembangunan di tahan yang disediakan hampir 100% dilaksanakan.

“Satu ketika dulu orang mempersendakan projek PKFZ, projek gagal kononnya, tetapi hari ini ia terbukti projek yang berjalan.

“Setakat ini daripada 628 ekar tanah, 99% telah digunakan. Ini bermaksud tidak sampai 7 ekar belum guna, itupun ada orang datang bincang nak bangunkan, bermaksud hampir 100% pengunaan tanah di PKFZ telah berlaku,” katanya.