Selangor catat kes aktif 2 angka Covid-19

Negeri lain yang turt mencatatkan kes aktif 2 angka Covid-19 ialah Negeri Sembilan dengan 11 kes dan Sabah (10).

PETALING JAYA: Selangor sekali lagi mencatatkan kes aktif 2 angka wabak Covid-19 apabila 4 kes import baru dilaporkan hari ini.

Infografik Kementerian Kesihatan hari ini menunjukkan terdapat 10 kes aktif dengan 6 daripadanya kes tempatan.

Negeri lain yang mencatatkan kes 2 angka adalah Negeri Sembilan (11) dan Sabah (10).

Sementara itu Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Pahang, Melaka, Terengganu dan Kelantan dikategorikan sebagai zon hijau tanpa kes aktif.

Sehingga kini sebanyak 8,683 kes Covid-19 direkodkan di negara ini dengan 8,499 pesakit pulih dan 63 masih dirawat.

Jumlah kematian masih kekal 121 kes.

Semalam, Sultan Selangor menyuarakan kebimbangan berhubung kealpaan orang ramai terhadap ancaman wabak Covid-19 apabila ramai yang tidak lagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) sekali gus boleh mengundang gelombang pandemik baru.

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata, ramai orang tidak lagi mematuhi garis panduan ditetapkan seperti berada di tempat awam tanpa memakai pelitup muka dan tidak menjaga jarak sosial.