Sindiket pemerdagangan manusia, ejen buruh punca PATI tiada dokumen, kata aktivis

Adrian Pereira daripada Inisiatif Utara-Selatan mendakwa prosedur pihak berkuasa melakukan serbuan ke atas PATI tidak telus, oleh itu sukar untuk orang ramai mengetahui jika ia dipatuhi.

PETALING JAYA: Sebuah kumpulan aktivis memperjuangkan hak migran berkata, kerajaan sepatutnya memburu sindiket pemerdagangan manusia dan ejen buruh yang merupakan antara punca pekerja asing tiada dokumen, susulan laporan saluran berita Al Jazeera mendakwa Malaysia mendiskriminasi pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam usaha menangani Covid-19.

Pengarah Eksekutif Inisiatif Utara-Selatan, Adrian Pereira berkata demikian ketika ditanya tindakan polis menyiasat Al Jazeera kerana memfitnah, menghasut dan menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan disebabkan laporan kontroversinya yang tidak disenangi Putrajaya serta Jabatan Imigresen mengesan seorang lelaki Bangladesh ditemubual saluran berita itu.

Jumaat lalu, saluran berita berpangkalan di Qatar itu menyiarkan dokumentari bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” selama 25 minit menerusi program 101 East, yang mendakwa Putrajaya menggunakan alasan kesihatan dan keselamatan awam untuk menahan pendatang asing tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Adrian berkata, kerajaan tidak patut menyasarkan pemberi maklumat seperti lelaki Bangladesh yang ditemubual Al Jazeera kerana beliau hanya menyuarakan keadaan dihadapinya atau rakan senegaranya.

Katanya, maklumat sedemikian boleh digunakan kerajaan untuk memperbaiki prosedur melakukan serbuan yang didakwanya tidak telus.

“Sukar bagi orang ramai mengetahui sama ada prosedur (serbuan) itu dipatuhi,” katanya kepada FMT.

“(Sindiket) pemerdagangan manusia dan ejen buruh yang berperanan dalam menyebabkan pekerja asing akhirnya tidak berdokumen. Ini adalah puncanya.”

Selasa lalu, Jabatan Imigresen dilaporkan berkata, ia sedang mengesan lelaki Bangladesh bernama Md Rayhan Kabir, 25, yang ditemubual Al Jazeera dalam laporannya mengecam layanan terhadap PATI ketika Malaysia melaksanakan langkah membendung penularan Covid-19.

Jabatan Imigresen turut memberi amaran keras akan membatalkan kelulusan pas yang dikeluarkan kepada warga asing, jika mereka mengeluarkan kenyataan tidak tepat yang memburukkan imej Malaysia.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob pula dilaporkan menuntut permohonan maaf daripada Al Jazeera kerana menyiarkan fakta tidak benar dan mengelirukan.

Sementara itu, kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) menyifatkan tindakan Jabatan Imigresen memburu lelaki Bangladesh yang ditemubual Al Jazeera itu mengecewakan dan tidak boleh diterima.

Penyelaras LFL, Zaid Malek menggesa kerajaan menghentikan sebarang tindakan terhadap lelaki itu yang kini menjadi sasaran tohmahan dan serangan bersifat perkauman kerana mengkritik tindakan Putrajaya.

“Notis yang dikeluarkan Jabatan Imigresen mendedahkan nama dan alamat individu terbabit yang secara tidak langsung membahayakan keselamatannya.”

Katanya, kandungan laporan itu hanya bersifat kritikan dan menyampaikan isu yang pernah dibangkitkan sebelum ini.

“Kami telah memeriksa keseluruhan dokumentari dan mendapati ianya tidak mempunyai sebarang unsur yang membolehkan kerajaan melakukan siasatan jenayah.

“Apa yang disampaikan dalam dokumentari tersebut bukanlah baru kerana isu diutarakan itu sama seperti yang disuarakan beberapa NGO dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).”

Beliau berkata, kerajaan hanya perlu mengeluarkan kenyataan untuk memperbetulkan laporan tidak tepat.