TH catat pendapatan pelaburan RM1.55 bilion

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) mencatatkan pendapatan pelaburan RM1.55 bilion pada separuh pertama tahun ini yang disokong oleh pelaburan dalam pasaran sukuk dan saham.

Pelaburan aset pendapatan tetap menyumbang RM1 bilion, iaitu 65% daripada jumlah pendapatan pelaburan TH bagi tempoh Januari hingga 30 Jun, demikian kata pengurus dana jemaah haji itu dalam kenyataan hari ini.

Pelaburan hartanah menjana pendapatan RM204.57 juta, manakala pelaburan instrumen pasaran wang Islam menyumbang RM187.13 juta sementara RM150.27 juta pula daripada pelaburan ekuiti.

“Peningkatan pendapatan ini menghasilkan keuntungan bersih sebanyak RM1.25 bilion berbanding RM849.66 juta dalam tempoh 6 bulan sama pada 2019. Jumlah aset TH juga melebihi liabiliti sebanyak RM1.86 bilion pada 30 Jun 2020,” katanya.

Katanya, TH sedang membuat persediaan untuk menghadapi pengurusan haji yang lebih rumit tahun depan, berikutan penangguhan haji musim 2020.

Ia termasuk menangani cabaran baru seperti penyampaian perkhidmatan yang mengambilkira situasi Covid-19.

“Pasaran kewangan dan keadaan ekonomi yang mencabar pada awal tahun ini, penularan wabak Covid-19 memberi impak ketara terhadap ekonomi dan pasaran kewangan dunia, termasuk ekonomi dan pasaran kewangan tempatan.

“Kejutan daripada Covid-19 juga berlaku dalam situasi ekonomi global yang lemah berikutan harga minyak mentah yang rendah dan kemelut perang perdagangan antara ekonomi besar dunia,” katanya.

Namun, keadaan pasaran kewangan beransur pulih apabila aktiviti ekonomi dibenarkan semula bersama langkah menerusi pelan rangsangan ekonomi diumumkan kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Nik Hasyudeen Yusoff berkata pasaran saham tempatan Bursa Malaysia yang jatuh lebih 23% semasa kemuncak pandemik kembali meningkat hampir kepada paras asal.

Katanya, indeks utama FBM KLCI ditutup pada paras 1,500.97 mata pada 30 Jun lalu dan hanya membabitkan perbezaan 5.5% daripada 1,588.76 mata pada 31 Dis 2019.

“Ini tidak bermakna tekanan ke atas prestasi dan penilaian aset TH, seperti di dalam sektor hartanah, telah berkurangan.

“Impak besar daripada wabak Covid-19 ke atas ekonomi dunia dan negara menjadi cabaran paling utama bagi TH dalam menguruskan pelaburannya demi melindungi kepentingan pendeposit.

“Kami juga telah mengambil langkah mengenal pasti kesan Covid-19 ke atas pelaburan melalui pemantauan berkala. Dari segi operasi pula TH perlu menjadi lebih efisien dengan menambah baik perkhidmatan dan mengurangkan kos,” katanya.

TH yakin wabak itu bakal berakhir dan akan terus bekerja keras untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pendeposit dalam apa jua keadaan.

Melangkah ke depan, perkhidmatan digital akan menjadi fokus utama TH memandangkan sebahagian besar pendeposit terdiri daripada golongan celik teknologi.

“Kepercayaan dan sokongan pendeposit kepada TH kekal utuh dengan jumlah deposit sebanyak RM73.86 bilion pada 30 Jun 2020 berbanding RM69.42 bilion pada 31 Dis 2019,” katanya.

Pada tempoh sama lebih 123,000 akaun simpanan baru dibuka.