13 kes baru Covid-19, 12 sembuh

PUTRAJAYA: 13 kes jangkitan baru Covid-19 dilaporkan hari ini, yang mana 8 daripadanya kes import dan 5 kes penularan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini berkata kes import itu melibatkan 6 warganegara dan 2 bukan warganegara.

“Daripada 5 kes penularan di dalam negara, 3 kes adalah di kalangan warganegara dan 2 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia,” katanya.

Dua kes melibatkan bukan warganegara itu adalah kes saringan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil.

“Kedua-dua kes ini disaring semula sebelum proses penghantaran balik ke negara asal,” katanya.

Perkembangan ini menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan di mana 8,696 kes.

Sementara itu, 12 pesakit dilaporkan sembuh, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang dibenarkan keluar wad 8,511 orang, bersamaan 97.9% daripada kes keseluruhan.

Ketika ini bilangan kes aktif sebanyak 64 kes. Dua daripada mereka sedang dirawat di unit rawatan rapi dan memerlukan bantuan alat pernafasan.

Tiada kematian dilaporkan hari ini, menjadikan angka kematian kekal 121 kes.

Pada masa sama, Hisham memaklumkan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (PKRC) akan menamatkan operasi pada 15 Julai.

“Sehingga 10 Julai, PKRC berjaya merawat seramai 1,362 orang pesakit di mana majoriti adalah orang bukan warganegara (86%) dan 14% adalah warganegara Malaysia,” katanya.