3 hotel di Kuala Lumpur berbaloi untuk ‘staycation’

Sheraton Imperial Kuala Lumpur menjanjikan sebuah percutian mewah (Gambar marriot.com)

“Staycation” kini semakin popular di kalangan warga kota yang ingin lari daripada rutin harian yang membosankan.

Lebih-lebih lagi setelah melalui fasa yang menyesakkan akibat pandemik Covid-19 baru-baru ini.

Satu kelebihan “staycation” ini ialah, anda tidak perlu memandu jauh ke luar kota, pilih sahaja hotel yang menawarkan penginapan yang diidamkan, contohnya di Kuala Lumpur.

Jadi, buat warga kota yang ingin melarikan diri buat seketika, 3 penginapan berikut boleh dijadikan pilihan.

1. Sheraton Imperial Kuala Lumpur

Hotel bertaraf lima bintang ini menjanjikan sebuah percutian yang cukup sempurna. Terutamanya jika anda ingin bermalas-malasan di hotel.

Tidak mahu memandu ke sana-sini untuk menjamu selera atau mengisi masa terluang.

Terdapat 398 bilik yang ditawarkan oleh hotel ini dan kesemua bilik menjanjikan perkhidmatan terbaik demi keselesaan tetamu.

Setiap bilik tampil bergaya dengan rekaan moden, eksklusif serta kontemporari.

Malah, peralatan dan perabot yang diguna pakai juga sesuai dengan gaya hidup terkini serta mewah.

Antara jenis-jenis bilik yang boleh dijadikan pilihan ialah “Deluxe King”, “Deluxe Queen”, “Club King”, “Club Queen”, “Suite Ambassador” dan “Suite Imperial”.

Jangan lepaskan peluang menikmati set minum petang di Pavilions Lounge.

Dengan harga RM98 bersih untuk 2 orang, anda dan pasangan boleh menjamu selera sambil menikmati alunan muzik yang dipersembahkan secara langsung.

Selain itu, jangan lepaskan peluang memanjakan diri di Mandara Spa, salah satu spa bertaraf antarabangsa yang cukup popular.

Dapatkan nasihat kakitangan spa supaya mereka boleh menyarankan rawatan yang paling tepat.

Selain boleh mendapatkan urutan badan, anda juga boleh melakukan rawatan badan yang lain seperti lulur dan mandi bunga, rawatan wajah, “pedicure” dan “manicure”.

The Chow Kit membawa tetamu merentas masa ke zaman kegemilangan Chow Kit suatu ketika dahulu. (Gambar www.thechowkit.com )

2. The Chow Kit – an Ormond Hotel

The Chow Kit – an Ormond Hotel menjadi bualan hangat di kalangan warga kota dan juga mengembara kontemporari sejak dibuka pada penghujung tahun 2019.

Terletak di tengah kota Kuala Lumpur atau lebih tepat lagi di Chow Kit, hotel ini menjanjikan suasana penginapan yang lain daripada yang lain.

Selangkah masuk ke lobi hotel anda bagaikan terbang ke dunia atau latar masa yang berbeza.

Siapa sangka hotel yang nampak biasa dari luar, punya rekaan mewah dan elegan di sebelah dalam.

Terdapat beberapa bilik yang ideal untuk dijadikan pilihan iaitu “The Den”, “The King Den”, “The Little Towkay Suite”, “The Towkey Suite” dan “The Towkey Soh Suite”.

Setiap bilik tampil dengan dekorasi mewah yang dilengkap dengan peralatan moden bagi memastikan keselesaan tetamu.

Bagaimanapun, perlu diingatkan hotel ini tidak mempunyai kolam renang mahupun spa untuk anda memanjakan diri.

Tapi, anda boleh menikmati keindahan kota Kuala Lumpur pada waktu siang atau malam di Roof Top hotel ini.

The Chow Kit Kitchen & Bar yang terletak di lobi telah tersenarai sebagai “20 best new Asia-Pacific restaurant to try in 2020 oleh CNN”.

Ia menghidangkan menu-menu lokal dan juga antarabangsa.

Villa Samadhi sesuai untuk pasangan pengantin baru yang ingin berbulan madu (Gambar www.villasamadhi.com.my )

3. Villa Samadhi Kuala Lumpur

Jika anda ingin menghabiskan masa dengan yang tersayang, Villa Samadhi merupakan pilihan ideal.

Biarpun lokasinya di Kuala Lumpur, namun suasana villa ini menjanjikan sebuah percutian yang cukup privasi.

Di sini kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan menginap kerana ingin mengekalkan suasana yang damai.

Ini bermakna, villa ini sangat sesuai untuk pasangan yang ingin berbulan madu.

Maklumlah sehingga kini rakyat Malaysia masih belum dibenarkan ke luar negara untuk bercuti.

Satu keistimewaan villa ini ialah setiap bilik mempunyai rekaan berbeza dan keunikan tersendiri dengan suntikan suasana romantik.

Jadi, bolehlah ambil peluang untuk bermalas-malasan dengan sepuas-puasnya. Lupakan rutin harian yang menjengkelkan.

Pasangan pengantin baru yang mahukan suasana seperti di Bali, datanglah ke villa ini.

Anda pasti tidak akan menyesal. Jika masih ragu-ragu boleh semak ulasan-ulasan mereka yang pernah menginap di laman-laman web tempahan hotel.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]