Artis autisme tarik perhatian KP Kesihatan hasil lukisannya

Luqman membuktikan autisme yang dialaminya bukan penghalang untuk kembangkan bakatnya.

Sejak pandemik Covid-19 melanda negara, Dr Noor Hisham Abdullah menjadi figura terkenal di tanah air di atas kecekapannya mengendalikan pandemik ini.

Hampir setiap hari rakyat Malaysia akan melihat wajah Ketua Pengarah Kesihatan itu terpampang di televisyen bagi memberikan perkembangan terkini Covid-19.

Sebagai tanda penghargaan di atas usaha yang dilakukan, pemuda dikenali sebagai Luqman Hakim, 27 melakarkan wajah Pengarah Kesihatan ini pada cawan minuman Starbucks.

Apa yang menariknya, lukisan tersebut berjaya menarik perhatian Dr Noor Hisham sendiri di media sosial miliknya yang dihasilkan artis autisme yang berasal dari Bangi.

Menurut Luqman dia mula melukis sejak berumur 3 tahun selepas memerhatikan kemahiran ibu dan abangnya.

Luqman mengakui hidup sebagai autisme tidak mudah kerana dia kadang-kadang boleh menimbulkan kemarahan apabila apa yang dilakukan tidak lancar.

Luqman juga banyak menghasilkan karya lain menerusi lukisannya.

Tetapi dia cuba melatih dirinya untuk mengawal emosinya.

“Terima kasih Dr Noor Hisham Abdullah. Atas jasa baik anda untuk negara ini.

“Doktor saya telah melakukan pekerjaan yang sangat baik tetapi terserah kepada saya untuk berdisiplin dan terus berusaha untuk diri sendiri,” kata Luqman.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memuji lukisan yang dilakukan dan menganggap pemuda ini sebagai seorang yang sangat berbakat kerana bukan mudah untuk melukis potret pada cawan tersebut.

Beliau turut mengucapkan terima kasih di atas penghargaan yang diberikan oleh pemuda ini.

“Terima kasih dan teruskan usaha yang baik. Sesungguhnya anda mempunyai kemahiran yang berbakat.”

Selain Noor Hisham, Starbucks Malaysia juga membalas tweet tersebut dengan menyatakan ianya “tribute” yang indah buat hero negara itu.

Rata-rata netizen turut memuji hasil lukisan tersebut dan meminta pihak Starbucks untuk mengeluarkan cawan edisi khas Noor Hisham.

Melihatkan pada permintaan tinggi di ruangan komen, pastinya ianya bakal mendapat sambutan yang hangat.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]