Azmin tolak kemungkinan pilihan raya mengejut tahun ini

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya setahun dalam usaha mencergaskan semula ekonomi.

GOMBAK: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali hari ini menolak kemungkinan pilihan raya umum mengejut diadakan dalam tempoh setahun ini.

Beliau berkata, kerajaan pada ketika ini berada dalam fasa memulihkan ekonomi dan mengembalikan keyakinan pelabur selepas negara berdepan krisis ekonomi terburuk akibat pandemik Covid-19.

Katanya, kerajaan memerlukan masa sekurang-kurangnya setahun dalam usaha mencergaskan semula ekonomi.

Dalam pada itu katanya, pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berjaya menggamit kepercayaan komuniti perniagaan dalam tempoh beberapa bulan ini.

“Kita perkenalkan pakej Prihatin dan Penjana sebagai usaha untuk kurangkan kesan pandemik Covid-19 dan hasilnya nampak positif,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Daerah Gombak di sini, hari ini.

Beliau mengulas pandangan beberapa pemerhati politik yang berpendapat pimpinan Muhyiddin perlu dikekalkan sekurang-kurangnya bagi tempoh 2 tahun lagi supaya usaha pemulihan ekonomi berjalan lancar.

“Semua boleh bagi pandangan, itu terpulang,” katanya.

Dalam pada itu, Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak berkata, laporan Bank Dunia baru-baru ini juga menyebut bahawa Malaysia adalah antara negara yang akan mencatat pertumbuhan positif dengan unjuran pertumbuhan sekitar 6.3% hingga 7.5% pada 2021.

“Maknanya masyarakat dunia yakin pentadbiran hari ini mampu memulihkan ekonomi negara sebab itu mereka berani keluarkan unjuran yang positif untuk Malaysia. Ini boleh mengembalikan keyakinan pelabur.

“Saya kira usaha ini perlu diteruskan kerana dengan adanya pelaburan baru, ia dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang bernilai tinggi kepada rakyat. Ia tumpuan kerajaan pada masa ini.”

Malah katanya, unjuran Bank Dunia itu tertakluk kepada keupayaan negara untuk menyegerakan pemulihan ekonomi.

“Berdasarkan usaha yang dibuat sekarang, termasuk pakej rangsangan ekonomi, kita boleh capai tahap lebih positif tahun depan.”