Bekas CEO SRC di Hong Kong, tapi polis sana ‘liat’, kata KPN

KUALA LUMPUR: Bekas ketua pegawai eksekutif SRC International yang dikehendaki pihak berkuasa Malaysia, Nik Faisal Ariff Kamil dikenal pasti berada di Hong Kong, namun susah mendapatkan kerjasama polis di wilayah China itu.

“Kita dengan pihak berkuasa Hong Kong sebelum ini rapat sampai kita setiap tahun ada perlawanan ragbi, begitu juga dengan kerjasama melibatkan kes-kes jenayah,” kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.

“Tapi kebelakangan ini susah sangat, tak tahu kenapa dalam kes ini nampak ‘liat’ sangat,” katanya.

Hamid berkata polis Malaysia menulis surat kepada pihak berkuasa wilayah China itu memohon bantuan menahan Nik Faisal, “tapi maklum balas kita terima daripada mereka negatif”.

“Kita telah banyak buat permintaan dengan pelbagai cara,” katanya.

Katanya, polis Malaysia secara berterusan menghantar notis baru dan terkini kepada pihak berkuasa di Hong Kong, termasuk maklumat mengatakan isteri dan anak Nik Faisal juga berada di wilayah China itu.

Selain Nik Faisal, polis juga tahu lokasi ahli perniagaan Low Taek Jho dan beberapa individu lain yang dikehendaki.

“Saya tahu dimana mereka berada tapi kita tak boleh nak ambil mereka sebab kekangan tertentu – mereka boleh ulang-alik Kemboja, Thailand, Macau dan Hong Kong.”