Dr M ucap terima kasih pada Najib atas ucapan hari lahir

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengucapkan terima kasih kepada Najib Razak dan orang ramai yang menghantar ucapan selamat sempena ulang tahun hari kelahirannya yang ke-95 hari ini.

“Saya nampak Najib pun ada menulis dan saya ingin ucap terima kasih kepada beliau dan terima kasih semua yang mendoakan saya. Doa anda semua amat penting kerana saya gembira masih diingati oleh begitu ramai orang,” katanya dalam satu video hari ini.

Dalam catatan di Twitternya pagi ini Najib mengucapkan selamat hari lahir kepada bekas mentornya itu dengan ucapan “semoga Tun Dr Mahathir dilimpahkan rahmat, ketenangan, kesihatan dan dilanjutkan usia”.

“Selamat ulang tahun ke-95, tuan,” katanya.

Dua pemimpin itu bertelagah berhubung kes 1MDB pada 2015.

Mahathir yang menjadi perdana menteri sebanyak 2 kali berkata, beliau juga menerima ucapan selamat daripada Presiden Rusia Vladimir Putin, selain pemimpin asing yang lain.

Dalam video di Youtube, isteri Mahathir, Dr Siti Hasmah Mohd Ali menyanyikan lagu balad terkenal pada 1950-an nyanyian Doris Day bertajuk, “If I give my heart to you” untuk beliau.

“Ini Yang mengucapkan selamat hari lahir ke 95. Saya doakan semoga Allah SWT berikan kesihatan yang baik, panjangkan umur dan sentiasa tenang.

“Diberikan jiwa yang tenang, iman yang kuat dan tenaga yang kuat, pemikiran yang waras, panca indera yang tajam dan hajat di hati yang dimakbulkan. Love you,” katanya.