Firma pengurusan hartanah di kejiranan Cyberjaya nafi laksana peraturan rasis

Firma pengurusan Jewel of Grasmere di Setia Eco Glades di Cyberjaya mengatakan tidak pernah mengenakan peraturan yang meghalang orang dari Afrika menyewa unit.

PETALING JAYA: Firma pengurusan hartanah di satu kejiranan mewah di Cyberjaya yang didakwa menghalang orang dari Afrika menyewa rumah di kawasan itu nafi mengenakan peraturan sedemikian, mengatakan ia mungkin keputusan oleh pemilik individu.

Nurdeen Fazwi, rakan kongsi di PMC Facilities and Real Estate Sdn Bhd, berkata syarikatnya tidak pernah menetapkan sebarang larangan berkaitan kewarganegaraan penghuni di Jewel of Grasmere di Setia Eco Glades.

“Tidak ada ketetapan dalam mana-mana undang-undang kecil kami dari segi kewarganegaraan (untuk penyewaan rumah),” katanya kepada FMT. “Tidak ada yang dinyatakan.”

“Saya menganggap ini syarat diletakkan pemilik. Saya sangat percaya ini kesnya.”

Pada Rabu, FMT melaporkan pihak pengurusan kawasan itu, yang dibina oleh sebuah syarikat hartanah terkenal, mengenakan peraturan yang menghalang orang dari Afrika menyewa rumah di situ.

Seorang pekerja asing warga Libya dikenali Omar Amer Abou Abouabdalla dimaklumkan tentang peraturan itu oleh ejen hartanahnya.

Pemeriksaan dengan beberapa ejen jualan mengesahkan dakwaan Omar.

Bagaimanapun, Nurdeen mengatakan dakwaan itu tidak tepat.

“Kurang tepat untuk katakan peraturan itu ditetapkan oleh pihak pengurusan,” tambahnya.

Nurdeen berkata Jewel of Grasmere sebahagian dari pembangunan berfasa oleh SP Setia, Setia Marina.

Beliau berkata fasa sebelum Grasmere memperlihatkan penduduk dari pelbagai negara termasuk Arab Saudi, Afrika Selatan, Yaman, dan Pakistan.

“Kami tidak pernah mengehadkan penyewa rumah mengikut kewarganegaraan atau membuat dasar sedemikian.”