Garis kemiskinan baru beri gambaran lebih baik mengenai keperluan rakyat, kata badan pemikir

Kerajaan menyemak semula garis kemiskinan kebangsaan dari RM980 ke RM2,208.

PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir mengalu-alukan semakan semula garis kemiskinan negara dari RM980 ke RM2,208 hari ini.

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) berkata, garis kemiskinan baru itu dibuat berdasarkan taksiran lebih tepat ke atas keperluan asas rakyat, termasuk barangan bukan makanan dan pengambilan kalori kesihatan optimum dan lebih menggambarkan tahap pembangunan negara.

Terdahulu hari ini, Jabatan Perangkaan mengumumkan semakan garis kemiskinan kebangsaan.

Berdasarkan metodologi yang digunakan sebelum ini, kadar kemiskinan adalah sebanyak 0.4% pada 2016, tetapi di bawah metodologi baru, kadar itu disemak semula kepada 7.6% pada 2016 dan 5.6% pada 2019.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, semakan itu selari dengan keperluan semasa yang menekankan pengambilan makanan optimum dan mutu keperluan asas bukan makanan.

Pengurus penyelidikan dasar sosial Ideas, Wan Ya Shin berkata, garis kemiskinan yang disemak semula itu boleh menjadi asas lebih baik bagi penggubalan dasar serta penentuan sasaran inisiatif bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Walaupun langkah kerajaan mengguna pakai ukuran yang lebih tepat ini, namun ia juga menunjukkan bahawa kemiskinan mutlak masih merupakan cabaran serius di Malaysia.

“Usaha keras untuk menghapuskan kemiskinan perlu dipertingkatkan bagi membela nasib mereka yang paling memerlukan.

“Saya berharap kerajaan akan meneruskan haluan ini dengan menyediakan akses lebih luas kepada data, memudah cara perbincangan lebih terbuka mengenai cabaran ekonomi yang terus dihadapi negara,” katanya.