Mahathir terima ucapan hari lahir daripada seteru, rakan

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyambut ulang tahun kelahiran ke-95 hari ini.

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad menerima ucapan sempena ulang tahun kelahiran ke-95 hari ini daripada seterunya, beberapa bulan selepas meletakkan jawatan sebagai perdana menteri yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dalam catatan di Twitter, Najib Razak yang digantikan oleh Mahathir selepas PH memenangi pilihan raya umum pada 9 Mei 2018, mendoakan bekas mentornya itu panjang umur dan diberkati selain diberi kesihatan yang baik.

“Semoga Tun Dr Mahathir dilimpahkan rahmat, ketenangan, kesihatan dan dilanjutkan usia.

“Selamat ulang tahun ke-95, tuan,” katanya.

Banyak ucapan disampaikan melalui media sosial kepada Mahathir, pemimpin paling lama berkuasa di Malaysia yang juga pernah memegang jawatan perdana menteri sebanyak 2 kali.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, yang merupakan timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat dalam Kabinet ke-2 Mahathir, turut mengucapkan selamat ulang tahun kepada negarawan veteran itu dalam catatan Facebooknya yang disertakan gambar mereka bersama.

“Foto ini diambil pada hari saya ingin mendengar sendiri penjelasan anda mengenai semua soalan yang saya sampaikan di Putrajaya.

“Saya mungkin tidak menyukai semua yang saya dengar, tetapi saya tahu anda jujur dalam menjawab soalan ini. Inilah yang membuatkan saya suka mengenai anda – kejujuran anda, walaupun itu bermaksud kehilangan sokongan, ” katanya.

Mengucapkan terima kasih kerana telah meluangkan masa untuk kembali sebagai perdana menteri, Yeoh berkata, ramai rakyat Malaysia mendoakan Mahathir dan menginginkan “ulang tahun yang paling bahagia” untuknya.

“Saya mungkin tidak akan hidup sehingga berusia 95 tahun, tetapi jika mencapainya sekali pun, saya tidak dapat melakukan apa yang telah anda lakukan dalam beberapa tahun kebelakangan ini – gigih memerangi mereka yang terlibat dalam 1MDB.

“Selamat ulang tahun ke-95 yang paling bahagia Tun!,” katanya.