Manifesto merupakan kesilapan terbesar PH, kata Rafidah

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Rafidah Aziz berkata, PH wajar diberikan peluang 5 tahun untuk mentadbir Putrajaya.

PETALING JAYA: Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Rafidah Aziz sekali lagi menyelar gabungan parti politik dalam Pakatan Harapan (PH) dan menyifatkan kesilapan terbesar mereka semasa mentadbir Putrajaya adalah dengan mewujudkan manifesto.

Rafidah berkata, manifesto yang dirangka pemimpin PH terlalu meluas dan banyak hinggakan tidak ada mana-mana pihak yang boleh memahami isi kandungannya.

Malah katanya, beliau “boleh tertidur” jika membacanya, merujuk kepada manifesto pilihan raya umum ke-14 gabungan politik itu.

“Saya beritahu kesilapan terbesar PH adalah adanya manifesto, terlalu banyak, tidak ada sesiapa boleh hadam. Kami dahulu tidak pernah ada manifesto besar-besar semasa saya dalam Barisan Nasional. Saya juga salah seorang dalam jawatankuasa, tidak ada gunanya (ia) terlalu terperinci.

“Ambil contoh dalam isu Covid-19, apa yang berlaku ini adalah di luar kawalan kita. Dalam erti kata lain, rangkakan perkara utama sahaja dan dalam tempoh itu kita perbaiki dan ubah. Tetapi anda (PH) lakukannya seperti Quran, kitab Injil, tidak boleh diubah. Jadi ia salah.

“Saya sendiri gelarkan ia sebagai ‘manifesto bodoh’ dan tidak perlu. Sebaliknya, datanglah dengan satu format untuk terus maju ke hadapan,” katanya dalam siaran langsung di Facebook ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh malam ini.

Rafidah berkata demikian ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan Yeoh, yang membayangkan mengenai kesukaran dialami penjawat awam selepas berlakunya transisi pentadbiran kerajaan PH kepada Perikatan Nasional (PN), apabila kerajaan ketika ini tidak mempunyai manifesto yang jelas.

Bagaimanapun menurut Rafidah, PH wajar diberikan mandat mentadbir selama 5 tahun, bagi menentukan kemampuan gabungan berkenaan mentadbir Putrajaya.

“Saya tidak melihat kenapa anda tidak perlu diberikan peluang, rakyat perlu berikan PH peluang. Saya selalu beritahu rakyat, berikan mereka peluang selama 5 tahun, ia tidak adil,” katanya.

Mengulas mengenai pemberian jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dilakukan pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Rafidah berkata, jawatan dalam GLC bukanlah sumber untuk ahli politik mendapatkan wang.

“Ia juga tidak seharusnya diberikan kepada kroni untuk mereka lakukan apa yang mereka suka. Jika tidak ada kepimpinan yang jujur, berintegriti, yang mengutamakan negara berbanding diri sendiri, perkara ini akan tetap berlaku.

“Dengan meletakkan rakan di sana (GLC), membuang orang yang belum tamat tempohnya, ia tidak boleh dilakukan.

“Melainkan dia memang benar-benar tidak kompeten. Tetapi, membuang individu yang sudah melakukan kerja dan sudah boleh dilihat hasilnya, saya terkejut,” katanya.