Pakatan dengan PAS mendahului PN, kata pemimpin Umno

Umno dan PAS menandatangani piagam Muafakat Nasional tahun lalu untuk mewujudkan kuasa politik Melayu yang kuat.

PETALING JAYA: Seorang ahli Majlis Tertinggi Umno mengatakan parti itu perlu mengutamakan piagamnya dengan PAS, mendahului sebarang kerjasama dengan Perikatan Nasional, kerana pakatan itu lebih awal didokong akar umbi.

Bekas ahli Parlimen Batu Pahat, Puad Zarkashi berkata ini merupakan pilihan yang Umno ada buat masa sekarang.

Namun, menurutnya, akar umbi lebih cenderung ke arah Muafakat Nasional kerana pakatan itu adalah apa yang mereka mahukan.

“Mereka mendokongnya. Mereka menjadikannya agenda perjuangan,” katanya.

PN, sebaliknya, dianggap sebagai satu bentuk kerjasama untuk memastikan pemerintahan berfungsi sehingga pilihan raya umum.

Muafakat Nasional, piagam yang menyatukan Umno dan PAS, ditandatangani pada September tahun lalu untuk mewujudkan kuasa politik Melayu yang kuat.

Puad berkata, pemimpin Umno mesti merujuk pandangan akar umbi kerana mereka kekuatan parti.

Tentang ketidaksepakatan mengenai kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Annuar Musa baru-baru ini, berhubung Umno akan menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri pada pilihan raya akan datang, beliau menjelaskan pemimpin bertanggungjawab memastikan akar umbi jelas tentang arah parti.

“Sebenarnya pendirian Umno seperti yang disepakati adalah konsisten. Muafakat Nasional adalah keutamaan. Ia nampak berbeza apabila terdapat kenyataan dari individu tertentu mengenai jawatan perdana menteri,” kata Puad, antara yang turut mempersoalkan komen Annuar.

“Itu bukan yang disepakati dalam Umno sebelumnya. Sebab itu apabila keluar kenyataan mengenai jawatan perdana menteri, ia cepat mendapat reaksi yang panas daripada beberapa ketua bahagian.”

Menegaskan pemimpin mesti merujuk pandangan akar umbi dalam membuat keputusan besar seperti kedudukan parti dalam PN, beliau berkata kritikan terhadap kepemimpinan atau perbezaan pendapat hanya akan memastikan pemimpin “tidak terlajak jauh” daripada keutamaan Umno.

Katanya, keutamaan Umno ialah untuk kembali menjadi parti domiman.

“Dari situ barulah difikirkan siapa yang layak menjadi calon perdana menteri.”

Sementara itu, Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin mengakui ada perbezaan pendapat antara pemimpin parti.

“Kepimpinan sudah mengumumkan Umno dan PAS akan menyokong Muhyiddin sebagai presiden.

“Tetapi apa yang akan berlaku jika Umno menang lebih banyak kerusi? Secara tradisinya, Agong akan melantik perdana menteri dari parti yang ada kerusi terbanyak majoriti.

“Bagaimana kerusi akan dibahagikan antara kedua-dua parti? Ia masih persoalan besar,” katanya.