Saya tidak akan tunduk pada peras ugut, kempen fitnah, kata aktivis Islam terkenal

Ibu pejabat polis Dang Wangi, Kuala Lumpur di mana seorang aktivis memberi kenyataan berhubung laporan serangan seksual yang dibuat pada Februari.

KUALA LUMPUR: Seorang aktivis Islam terkenal tampil menolak keras dakwaaan salah laku seksual terhadap dirinya dengan berkata, individu dan pertubuhan tertentu yang berusaha memusnahkan nama baiknya melalui “peras ugut dan kempen fitnah terancang” menerusi media.

Beberapa jam sebelum itu beliau memberi kenyataan kepada polis berhubung laporan yang dibuat oleh seorang lelaki berusia 25 tahun kira-kira 5 bulan lepas yang menuduh beliau meraba dan menciumnya.

Bercakap kepada FMT, aktivis tersebut, yang mengetuai kumpulan Islam yang lantang bersuara, merujuk kepada bekas pembantunya berhubung dakwaan itu, dengan berkata, portal berita atas talian yang menyiarkan dakwaan oleh beberapa orang bekas kakitangannya juga bertanggungjawab ke atas fitnah tersebut.

“Saya menafikan tuduhan jahat ini sekeras-kerasnya,” katanya dengan menamakan seorang bekas pembantu beliau yang disaman 6 tahun lepas sebagai individu di belakang dakwaan serangan seksual terhadapnya.

Difahamkan lelaki yang dimaksudkan beliau disiasat kerana pecah amanah jenayah berhubung dakwaan penyelewengan dana.

“Saya juga memfailkan saman sivil terhadapnya pada 2014 dan beliau kalah kes tersebut dan diisytiharkan bankrap,” katanya kepada FMT.

Pemeriksaan di Jabatan Insolvensi mengesahkan dakwaan terhadap individu terbabit yang namanya tidak didedahkan sementara menunggu responsnya. Beliau diisytiharkan bankrap pada 2017.

Dalam pada itu aktivis berkenaan mempersoalkan bagaimanakah seorang yang bankrap boleh menjadi pengarah sebuah pertubuhan.

Katanya, lelaki itu terus menyerangnya kerana “beliau tidak akan rugi apa-apa kerana telah diisytiharkan bankrap”.

Katanya beliau juga dimaklumkan tentang usaha untuk menggunakan kempen “MeToo”.

“Itu tidak akan berlaku kerana mereka menyalahgunakan gerakan itu untuk kepentingan mereka sendiri,” katanya merujuk kepada gerakan anti serangan seksual yang menyaksikan mangsa tampil ke hadapan untuk membuat dakwaan jenayah seks terhadap mereka oleh individu ternama.

Peras ugut

Katanya, awal tahun ini, beliau diperas ugut oleh beberapa individu yang mahu mengambil alih kepimpinan NGO yang diketuainya, iaitu sebuah gerakan Islam yang berpendirian progresif berhubung isu kontemporari Islam.

“Mereka memberi kata dua supaya saya berundur atau mereka akan dedahkan dakwaan bahawa saya mencabul seorang doktor pelatih.”

Beliau berkata, hakikat bahawa laporan polis yang dibuat pada Februari itu tidak menyaksikan apa-apa tindakan susulan menunjukkan bahawa tidak ada kes.

“Tetapi apabila saya tidak berundur, mereka pergi berjumpa polis dengan sekumpulan peguam NGO baru-baru ini.

“Jelas pengadu tidak ada kes sehinggalah mereka membuat keputusan untuk menghebohkan berita itu sebagai tekanan supaya polis menjalankan siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kemepn terhadapnya itu mungkin juga berpunca daripada keengganannya untuk menyelar cendekiawan Islam Peranchis Tariq Ramadan yang didakwa merogol awal tahun ini.

Ini katanya, menimbulkan kemarahan beberapa aktivis.

“Sekumpulan mereka marah terhadap saya kerana mempertahankan Tariq Ramadan, sekali gus melancarkan serangan melalui Facebook berhubung kredibiliti saya yang kemudiannya dibesarkan oleh media.

“Ini menyebabkan polis meminta saya memberi kenyataan kepada mereka hari ini,” katanya kepada FMT.

Katanya, beliau gembira kerana polis memutuskan untuk menjalankan siasatan.

“Saya mengalu-alukan siasatan kerana ia merupakan peluang untuk membersihkan nama saya,” katanya.