DBP sokong keputusan kerajaan jadikan Jumaat Hari Jawi

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Awang Sariyan berkata tulisan Jawi perlu digunakan untuk peragaan maklumat di tempat awam, premis perniagaan dan pejabat serta dokumen, di samping tulisan Rumi.

KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) menyokong penuh keputusan kerajaan menjadikan Jumaat sebagai Hari Jawi, kata Pengerusi Lembaga Pengelolanya, Awang Sariyan.

Katanya, keputusan kerajaan itu memberikan ruang untuk tulisan Jawi diletakkan pada martabatnya yang sah sebagai tulisan bahasa Melayu selama hampir 1,000 tahun sebelum tulisan Rumi diterima sebagai tulisan rasmi bagi bahasa kebangsaan.

Beliau berkata, pada zaman Kesultanan Melayu selama ratusan tahun, tulisan Jawi menjadi tulisan bagi semua bidang, seperti agama, undang-undang, ketatanegaraan, sejarah, perubatan, persenjataan, hikayat dan susastera (prosa dan puisi), serta dalam bidang diplomasi.

“Surat dan perjanjian antara kerajaan dengan kuasa asing seperti Belanda, Portugal, Sepanyol dan Inggeris ditulis dengan Jawi. Tulisan Jawi dan bahasa Melayu diterima semua bangsa, hatta semasa penjajahan Inggeris.

“Oleh itu, tiada asas untuk mana-mana pihak yang mewakili kaum tertentu untuk menolak usaha mengembangkan tulisan Jawi,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama semalam.

Penyandang Kursi Za’ba Universiti Pendidikan Sultan Idris itu berkata, sebagai usaha awal untuk memasyarakatkannya, tulisan Jawi perlu digunakan untuk peragaan maklumat di tempat awam, premis perniagaan dan pejabat serta dokumen, di samping tulisan Rumi.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataannya mengumumkan Jumaat sebagai Hari Jawi bermula semalam dalam usaha mengekal dan memperkasakan sebahagian tradisi serta kebudayaan yang membentuk Malaysia sehingga hari ini.

Katanya, tulisan Jawi diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.