Faktor kewangan halang ibu bapa Malaysia punyai ramai anak, kata lembaga penduduk

 

Kajian mendapati 65% ibu bapa di negara ini ingin mempunyai lebih ramai anak sekiranya isu kewangan bukan suatu halangan.

PUTRAJAYA: Faktor kewangan menjadi halangan utama kepada pasangan untuk memiliki saiz keluarga yang diinginkan, kata Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur Abdullah.

Beliau berkata, walaupun secara purata para ibu bapa di negara ini menginginkan 4 anak, namun hakikatnya kebanyakan mereka hanya mampu mempunyai antara 2 dan 3 orang sahaja kerana kos untuk seorang anak yang tinggi.

“Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) mendapati sebanyak 65% daripada penduduk berkahwin menyatakan bahawa mereka ingin mempunyai lebih ramai anak sekiranya isu kewangan bukan suatu halangan,” katanya.

Jelasnya, antara kos yang yang dilihat membebankan ibu bapa adalah pembelian peralatan dan makanan bayi yang mahal seperti susu dan lampin pakai buang serta upah pengasuh serta yuran taska yang tinggi.

Abdul Shukur Abdullah.

Faktor lain yang menghalang keluarga di negara ini daripada mencapai saiz keluarga yang mereka inginkan adalah perkahwinan lewat, kesukaran mencari pasangan hidup dan masalah kesuburan, katanya.

Oleh itu katanya, insentif dalam bentuk bantuan kewangan bagi menggalakkan kelahiran perlu diperkenalkan kerajaan dalam menangani isu itu.

“Kita memberi cadangan kepada kerajaan agar insentif tambahan diberikan kepada ibu bapa seperti kemudahan taska, bonus untuk setiap kelahiran bayi serta membantu menampung kos harga susu yang secara langsung akan membantu ibu bapa mengurangkan kos sara hidup keluarga mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Shukur berkata, jika dibandingkan dengan kadar kesuburan dengan negara Asean yang lain, kadar kesuburan negara pada ketika ini berada pada tangga ke-3 terendah, iaitu 1.9 orang anak bagi setiap wanita berumur antara 15 hingga 49 tahun pada 2016 selepas Singapura (1.2) dan Thailand (1.5).

“Kajian pada 2018 mendapati kadar kesuburan negara juga menurun dengan cepat, iaitu kepada 1.8 orang. Situasi ini akan menpercepatkan proses penuaan negara dan berkemungkinan akan mencapai status negara tua sebelum 2030,” katanya.

Jelas beliau, sekiranya kadar kesuburan terus menurun dan tiada intervensi diambil untuk menangani keadaan ini, Malaysia dijangka akan mengalami pengucupan penduduk buat pertama kalinya pada 2072, seterusnya akan memberi implikasi ke atas ekonomi kerana pengucupan tenaga pekerja di negara ini.