Kerajaan beri tumpuan serius kelompok berpendapatan RM2,500 ke bawah, kata Mustapa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed berkata, sebelum ini sasaran tertumpu kepada kumpulan B40 yang mempunyai 1 kelompok, namun kini ia dipecahkan kepada 4 kelompok, dengan paling rendah kelompok dalam kategori B10.

TANAH MERAH: Kerajaan memberikan tumpuan serius untuk membantu kumpulan bersasar, iaitu isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,500, antaranya termasuk kelompok masyarakat Orang Asli dan peneroka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata, jika sebelum ini sasaran sememangnya tertumpu kepada kumpulan B40 yang mempunyai 1 kelompok sahaja, namun kini ia dipecahkan kepada 4 kelompok, dengan paling rendah adalah kelompok dalam kategori B10.

“Dulu hanya ada kalangan kelompok B40 sahaja, tetapi sekarang ada 4 kelompok di bawahnya dan yang paling rendah dalam kelompok itu adalah B10 dengan pendapatan isi rumah mereka RM2,500 ke bawah.

“Jadi tumpuan kerajaan akan disasarkan kepada kelompok ini, dan dengan mendapat maklumat tepat kita akan rangka strategi untuk membantu mereka secara bersasar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pertemuan Petugas dan Pemimpin Gugusan Felda Kemahang di Dewan Semai Bakti Felda Kemahang 2 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan nilai purata Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional ialah pada kadar RM2,208, iaitu dalam kelompok 10% terbawah isi rumah.

Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin dilaporkan berkata, pendapatan penengah tumbuh sederhana 3.9% setahun kepada RM5,873 pada tahun 2019 dan pendapatan purata pula meningkat 4.2% setahun kepada RM7,901.

Mustapa berkata, kemiskinan di luar bandar lebih tinggi daripada kemiskinan di bandar, dan kemiskinan dalam kalangan orang Melayu adalah lebih tinggi berbanding kaum India dan Cina serta masyarakat di pedalaman Sabah.

Mengulas perkara itu lagi Mustapa berkata, beliau yakin Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin sudah merangka strategi yang lebih baik untuk menangani garis kemiskinan negara.

Selain itu katanya, kerajaan juga tidak akan melupakan masyarakat Orang Asli yang menanti strategi lebih mantap untuk memajukan ekonomi mereka dan perkara itu akan diperhalusi dalam Rancangan Malaysia ke-12.