Semakan garis kemiskinan langkah tepat, kata penganalisis

Penganalisis berkata, kenaikan perbelanjaan untuk membasmi kemiskinan boleh ditampung dengan memperkenalkan cukai baru seperti cukai pusaka dan cukai keuntungan modal (CGT).

PETALING JAYA: Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional pada kadar RM980 yang diguna pakai sejak 2005 adalah terlalu rendah dan seolah-olah menafikan realiti kesusahan hidup rakyat miskin di negara ini, kata penganalisis.

Pengurus pembangunan perniagaan Putra Business School (PBS), Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, semakan PGK baru iaitu RM2,208 adalah sesuatu yang patut dilaksanakan ketika rakyat bergelut dengan tekanan ekonomi semasa.

“Walaupun saya lebih suka Jabatan Perangkaan menggunakan kadar kemiskinan relatif sebagai PGK yang baru (50% daripada median pendapatan isi rumah bersamaan RM2,940), sekurang-kurangnga nilai PGK yang baru ini akan membuka mata kerajaan untuk menggubal semula dasar bagi membantu rakyat miskin.

“Saya juga berharap PGK ini diperincikan mengikut negeri dan juga bandar/luar bandar kerana situasi semasa menunjukkan ramai penduduk bandar termasuk dalam kategori miskin bandar,” katanya kepada FMT hari ini.

Jabatan Perangkaan Malaysia semalam menerusi laporannya mengumumkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) keseluruhan nasional adalah sebanyak RM2,208 sebulan bagi isi rumah pada 2019.

Angka itu adalah nilai PGK baru yang diperolehi setelah kerajan mengkaji semula metodologi pengiraannya.

Metodologi pengiraan PGK itu kali terakhir dikemas kini pada 2005 dan PGK pada 2016 adalah sebanyak RM980 sebulan bagi isi rumah.

Berdasarkan PGK baru, kadar kemiskinan adalah 5.6% (405, 441 isi rumah) bagi 2019 berbanding kadar kemiskinan pada 2016 sebanyak 0.4% (24,700 isi rumah) yang diukur berdasarkan metodologi PGK 2005.

Ahmed Razman Abdul Latiff.

Razman berkata, kerajan harus menerima hakikat bahawa banyak lagi yang perlu dilakukan untuk membasmi kemiskinan, termasuk menambah peruntukan untuk saluran bantuan bersasar dan juga semakan gaji minimum.

Kenaikan perbelanjaan untuk membasmi kemiskinan katanya, boleh ditampung dengan memperkenalkan cukai baru seperti cukai pusaka dan cukai keuntungan modal (CGT) yang biasanya ditumpukan kepada golongan T20.

“Kenaikan kadar cukai pendapatan untuk golongan T20 dan cukai syarikat boleh dipertimbangkan kerana masih ada lagi ruang untuk kenaikan kadar tersebut.

“Saya juga bersetuju bahawa semakan kadar PGK harus dilakukan setiap tahun dan diperincikan mengikut negeri dan bandar/luar bandar supaya tiada golongan yang tercicir daripada agenda pembangunan.”